Di Kota Kinabalu, Sabah, seorang lelaki berusia 32 tahun ditemui mati selepas dipercayai menggantung diri di dalam tandas bilik sewa tunangnya yang terletak di bangunan Sinsuran.
Sempat menjamu selera
Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan telah datang ke bilik sewa tersebut dengan tujuan untuk menziarahi tunangnya. Difahamkan, ketiga-tiga mereka sempat menjamu selera sebelum rakannya itu pulang ke Kudat dan meninggalkan mereka di dalam bilik berkenaan.
Mangsa kemudian telah masuk ke tandas untuk mandi. Mangsa dikatakan tidak keluar daripada tandas tersebut buat beberapa ketika dan perasaan curiga mula muncul di dalam diri wanita itu lebih-lebih selepas dia mengetuk pintu berkenaan untuk bertanyakan tentang keadaan mangsa. Malangnya, tiada sebarang jawapan yang diterima. Risau sesuatu perkara buruk berlaku, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk meminta bantuan jiran di bilik sewanya untuk memeriksa keadaan mangsa di dalam tandas.
Mangsa tergantung pada besi tangki air
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, wanita berkenaan bersama jirannya telah memecahkan pintu tandas tersebut dan mereka amat terkejut apabila melihat mangsa sudah menggantung diri pada besi tangki air di tandas terbabit.
Sebaik menerima laporan sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. Pasukan paramedik yang turut tiba di lokasi kejadian kemudiannya menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) untuk ujian COVID-19 sebelum proses bedah siasat dijalankan. Hasil daripada siasatan mendapati kematian tersebut tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian.
Sumber: Berita Harian