Penderma darah merupakan ‘wira negara’. Tanpa pengorbanan mereka, mungkin banyak nyawa tidak mampu diselamatkan.
Sempena Hari Penderma Darah Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memuat naik beberapa kad ucapan yang dibuat oleh penerima bagi menzahirkan rasa terima kasih kepada penderma. Lebih terharu, ucapan itu ditulis dengan sepenuh hati menggambarkan perasaan mereka apabila menerima bantuan.
Terima kasih
Bagi penerima darah, bantuan yang diberikan kepada mereka itu sangat mereka hargai dan tidak mampu dibalas dengan wang ringgit. Mereka ibarat pahlawan kerana telah membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan. Seorang penerima darah menulis:
Para penderma darah yang budiman. Terima kasih di atas keprihatinan kamu semua. Siapa pun kamu dan dimana kamu berada, doa kami semua sentiasa untuk kamu. Untuk menderma darah bukanlah suatu yang mudah. Tetapi kamu datang dan jadi pahlawan untuk kami.
Di samping itu, seorang pesakit Thalassemia meluahkan rasa syukur dan terharu kerana masih ada insan yang sudi membantu dirinya. Menurut pesakit tersebut, menderma darah bukanlah suatu hal yang semua orang mampu dan boleh lakukan. Tetapi, golongan penderma ini sangat kuat dan ikhlas untuk menderma darah mereka bagi melihat insan-insan sepertinya terus hidup.
Kalau bukan kamu, siapa lagi?
Sementara itu, seorang lagi penerima yang juga merupakan pesakit Thalasemia turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada para penderma.
Setitis darah anda sangatlah berharga.
Meskipun penderma dan penerima darah tidak mengenali antara satu sama lain, rata-rata daripada penderma juga meluahkan rasa bersyukur kerana dapat membantu insan yang memerlukan.
Menurut penderma, pengorbanan yang sedikit ini mampu memberi peluang dan kebahagiaan kepada pesakit untuk kembali sihat.
Sumber: KKM