Masih tersenarai sebagai salah seorang penyanyi pop dakwah yang terus kekal relevan dalam industri seni muzik Malaysia, penyanyi, penerbit dan pencipta muzik berbakat Hafiz Hamidun muncul lagi dengan sebuah karya penuh bermakna yang berjudul ‘Raudah’.
Artikel Berkaitan: ‘Buat Masa Ini Belum Ada Calon Lagi, Jika Ada Saya Tak Akan Berahsia..’ – Hafiz Hamidun
Perjalanan rohani dan emosi
Menurut Hafiz, lagu ini diterbitkan sempena sambutan Maulidur Rasul yang akan datang.
Lirik lagu ini menggambarkan perjalanan rohani dan emosi yang mendalam ke Madinah, saat saya melawat Masjid Nabawi dan berdoa di Raudah yang juga bermaksud ‘taman syurga’ dalam Bahasa Arab.
Seperti ramai umat Islam tahu, ia adalah tempat orang beriktikaf dengan mengerjakan solat serta berdoa saat menunaikan haji dan umrah, dan kita diajar bahawa doa di situ pasti dikabulkan dengan izin Allah.
Ia juga kawasan yang dihormati di masjid tersebut. Bait lirik ini menekankan kekaguman dan ketaatan yang dirasai ketika menyaksikan perhimpunan besar jemaah haji sambil meluahkan kerinduan untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW di Syurga.
Korus lagu pula menggambarkan doa dan keinginan mendalam penyanyi untuk bersatu semula dengan Nabi di Jannah (Syurga).
Bahagian ‘bridge’ lagu pula memberi penghormatan kepada Nabi dengan pujian dan doa untuk keamanan serta berkat ke atasnya. Secara keseluruhannya, lagu ini menyampaikan rasa hormat yang mendalam dan kerinduan untuk hubungan rohani dan rahmat Ilahi.
Tambah Hafiz lagi, proses rakaman lagu ini tidak mengambil masa yang lama.
Untuk penghasilan lagu dan lirik saya mengambil waktu seminggu, dan dua minggu lagi untuk siapkan proses rakaman muzik dan juga vokal, selain adunan serta mastering.
Di samping membabitkan pemuzik-pemuzik tempatan, saya ada juga menggunakan khidmat pemuzik antarabangsa dari Istanbul. Oleh kerana itu, dalam lagu ni ada unsur Timur Tengah dan nuansa ‘padang pasir’ untuk mengembalikan memori buat suasana lagu ni.
Saya mahu lagu ini menjadi lagu gembira dan ceria. Ia harus memberi semangat sebab bila kita hendak menunaikan umrah atau haji kita harus gembira, rasa bersyukur, selain berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Jadi saya selitkan juga kalimah selawat ke atas junjungan besar sebagai komposisi yang melengkapi lagu.
Lagu ini turut menampilkan sebuah klip video yang dirakam selepas menunaikan umrah.
Rakaman bermula dari Mekah hingga Madinah dengan menggunakan keretapi laju dan diteruskan di sekitar kawasan Masjid Nabawi selain dalam kawasan Raudah. Alhamdulillah walaupun sudah banyak kali berpeluang ke Masjid Nabawi di Madinah, saya tak sangka kali ini saya dapat luangkan masa dua jam lebih di situ.
Bagi yang tidak tahu, sekarang kalau hendak masuk ke kawasan Raudah, semua pengunjung harus menggunakan sebuah aplikasi khas, dan setiap pengunjung diberi masa sekitar 10 minit sahaja. Saya mendapat slot jam 3.30 pagi namun berkat rezeki Allah saya diberi peluang menunggu sehingga waktu solat subuh sekitar jam 5 pagi.
Malah saya berpeluang menunaikan solat subuh di dalam Raudah, jadi di situ saya mengambil peluang untuk merakam video sebanyak mungkin menggunakan telefon bimbit saya. Ini kerana kesempatan seperti itu jarang sekali tiba, lalu saya abadikan kenangan di situ dalam rakaman tersebut.
Hafiz juga berharap peminat dan pendengarnya dapat merasai kegembiraan dan keterujaan dalam lagu selain bersama merasakan kenikmatan dalam Raudah.
Pada masa yang sama saya mahu terus bangkitkan kerinduan dan kecintaan kepada Nabi SAW. Sempena Maulidur Rasul kita perbanyakkan selawat dan ikut sunnah baginda.
Buat yang belum ada rezeki atau kesempatan untuk menunaikan umrah atau haji ke masjid nabi, anda boleh selawat di mana-mana. Sesungguhnya inilah dakwah kecil saya untuk mengingatkan umat Nabi Muhammad supaya berselawat sempena Maulud Nabi.
Sudah dikeluarkan pada 6 September 2024, ‘Raudah’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.