berita

Semua Kontroversi Tersebut Berlaku Dalam Twitter – Aizat

January 7th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Tahniah! diucapkan buat Yunalis Zarai selaku komposer serta penulis lirik lagu ‘Terukir Di Bintang’ yang telah dinobatkan sebagai Juara Lagu Ke 27 malam semalam.

Selaku penyanyi gantian, Aizat menyifatkan kemenangannya adalah satu perkara yang tidak dijangka dan mengaku dirinya sendiri takut untuk menyanyikan lagu tersebut sekiranya dia tidak mampu memberikan komitmen 100% ketika menyampaikan lagu tersebut.

“Pertama sekali syukur Alhamdulillah dan saya merasa bangga dan gembira dengan kejayaan Yuna. Dia adalah kawan saya dan sewaktu diminta untuk menyanyikan lagu ini saya merasa tak percaya dan tak terfikir untuk menyanyikannya dengan baik sebab semuanya dilakukan pada saat-saat akhir.”

“Kemenangan ini adalah diluar jangkaan dan saya rasa takut juga sekiranya tidak dapat memberikan komitmen 100% sewaktu menyanyikan lagu ini.”

“Memang Tuhan sudah tentukan lagu ini akan menang, jadi itulah keputusannya,” ujar Aizat sambil tersenyum.

Memandangkan lagu ‘Terukir Di Bintang’ sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi, di mana nama penyanyi veteran Uji Rashid pernah dikatakan bakal menggantikan tempat Yuna, akan tetapi pada saat-saat akhir lagu tersebut dibawakan oleh Aizat pula. Jadi timbul persoalan dikalangan pihak media bagaimanakah perkara tersebut boleh berlaku?

“Semua kontroversi tersebut berlaku dalam twitter dan saya sendiri tak ada tweet apa-apa berhubung isu tersebut.”

“Memang saya ada dengar mengenai kes kak Uji Rashid dan bagi saya, sepatutnya pihak produksi harus hormat penyanyi tersebut sebab di adalah artis veteran. Masa kita buat ‘sound check’ memang dia ada datang dan tiba-tiba sahaja dia kena tukar dan saya pula yang menggantikan tempat dia.”

“Saya rasa bersalah dan sedikit ‘down’ apabila tahu perkara macam itu,” komen Aizat berhubung isu penyanyia gantian Yuna.

Dalam pada itu, sewaktu diajukan soalan, adakah Aizat memang dari awal sudah biasa mendengar lagu Yuna dan disebabkan itu dia mampu menyampaikan lagu tersebut dengan baik?

“Sebenarnya saya ‘familiar’ dengan melodinya sahaja dan tidak pada lirik. Jadi sewaktu menyanyikan lagu tersebut di atas pentas, saya cuma berserah dan yakin kepada diri sendiri sahaja.”