berita

Senjata Makan Tuan, Penyamun Maut Terkena Sabit Sendiri

July 4th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Seorang penyamun warga asing maut selepas sabit yang digunakan untuk menyamun dan menyerang mangsa terkena diri sendiri dalam satu kejadian di Taman Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Dua-dua maut dalam kejadian

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa didatangi suspek yang juga warga asing di sebuah premis.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati suspek pada mulanya berbual dengan mangsa, namun tiba-tiba suspek terus menyerang dan menetak mangsa menggunakan sabit panjang.

Mangsa kemudiannya mengambil kerusi plastik untuk mempertahankan diri, namun dalam masa yang sama senjata yang digunakan suspek telah terkena pada bahagian paha kiri suspek.

Tambah Zainal, suspek terus berlari ke arah luar premis dan terus rebah atas jalan pada jarak lebih kurang 36 meter dari lokasi kejadian.

Suspek yang berumur 50 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara mangsa berumur 48 tahun yang turut mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan kemudiannya turut disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes dianggap selesai memandangkan mangsa dan suspek yang terlibat dalam kejadian ini telah meninggal dunia.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×