Rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian permata seni negara, Adibah Noor Binti Mohamed Omar, pada 18 Jun lalu.
Berita itu telah menarik perhatian media, rakan-rakan selebriti, peminat, serta orang awam yang mula mendedahkan amalan baik arwah, termasuk Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah.
Kongsi 7 amalan baik arwah
Menerusi satu hantaran di halaman miliknya di Facebook, Fadzilah telah membuat coretan tentang tujuh kebaikan yang ada pada arwah Adibah Noor yang wajar dicontohi oleh semua.
Antaranya, Fadzilah berkata bahawa Adibah merupakan seorang yang bersifat pemurah, langsung tidak kedekut dalam memberi dan bersedekah. Adibah juga dikatakan sangat ramah, dan tidak meletakkan jurang dengan peminatnya..
Ramai rakan artis yang mengenali beliau, sentiasa sifatkan beliau ini selalu belanja makan, tak lokek dengan memberi dan bersedekah. Tiada jurang dengan peminatnya. Beliau ramah dan sering membalas komen atau tweet peminatnya dengan penuh kebaikan dan positiviti.
Selain itu , Fadzilah turut memuji bahasa dan tutur arwah yang baginya berada pada aras yang tinggi.
Sangat menjaga bahasa dan tutur kata. Beliau mahal dengan kata-kata aras tinggi dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu dan English yang ada slang memukau.
Selalu buat orang lain tersenyum
Tambah pakar motivasi itu lagi, Adibah sentiasa menggunakan platform media sosial ke arah kebajikan seperti menciap semula sekiranya seseorang memerlukan bantuan, ataupun bantuan yang diperlukan pemilik haiwan peliharaan.
Beliau selalu retweet dengan cara membantu orang awam dan juga haiwan peliharaan. Beliau buat dengan sukarela dan ikhlas.
Beliau sentiasa membuat orang lain ketawa dan tersenyum. Semua orang yang meluangkan masa dengannya sentiasa dapat aura positif dan sangat menenangkan.
Mengakhiri coretan itu, Fadzilah mengibaratkan kehilangan Adibah dalam dunia seni ibarat hilangnya sebuah butir mutiara.
Hilangnya sebuah butir mutiara seni yang pasti dirindui buat tanah air kita di Malaysia. Semoga kebaikannya terus mengalir dan menginspirasi kita semua ya.
Sumber: Facebook Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah