berita

‘Senyum Menceritakan Apa Yang Terjadi…’ – Dua Beradik Psiko Bunuh Satu Keluarga, Terpengaruh Kisah Pembunuhan Bersiri

November 11th, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Kisah pembunuhan keluarga Bever yang terjadi pada tahun 2015 pernah mendapat liputan yang luas daripada pihak media, dan berita tersebut mengejutkan ramai pihak. Paling mengejutkan, apabila pembunuhan itu dilakukan sendiri oleh dua beradik ini.

Bayangkan, dua beradik ini sanggup membunuh kedua ibu bapanya sendiri dan ahli keluarganya yang lain. Kejam, dan apa motif sebenar mereka?

Tindakan ‘kejam’

Foto: News 9

Kejadian pembunuhan keluarga ini terjadi pada malam, 22 Julai 2015 yang berlaku di rumah mereka sendiri. Dua beradik yang dikenali sebagai Robert Bever, 18, dan adiknya Michael Bever yang sanggup membunuh lima orang anggota keluarga mereka sendiri. Antara yang telah menjadi korban mereka ialah David Bever (bapa, 52 tahun) yang telah ditikam sebanyak 28 kali, April Bever (ibu, 44 tahun) ditikam sebanyak 48 kali, Danial Bever (12 tahun) ditikam sebanyak 9 kali, Christopher Bever (7 tahun) ditikam sebanyak 6 kali dan Victoria Bever (5 tahun) ditikam sebanyak 18 kali.

Hampir kesemua mangsa telah ditikam di tiga bahagian utama iaitu kepala, leher, dan badan. Mujur, dua lagi adiknya berjaya diselamatkan iaitu Crystal Bever (13 tahun) dan Autumn Bever (2 tahun). Ketika kejadian Crystal, berjaya diselamatkan walaupun mengalami kecederaan parah manakala Autumn tidak mengalami sebarang kecederaan. Kejadian bunuh berlaku apabila Michael menarik perhatian Crystal untuk datang ke biliknya atas alasan ada benda yang ingin ditunjukkan menerusi paparan komputer ribanya. Setibanya Crystal di bilik itu, lehernya telah dikelar oleh Robert. Jeritan Crystal ketika itu telah menyebabkan April terjaga daripada tidurnya lantas bergegas untuk memeriksa apa yang telah terjadi.

April dan David turut menerima nasib yang sama seperti Crystal menjadi mangsa tikaman Robert, mereka ditikam tanpa ada sebarang belas kasihan. Mangsa seterusnya adalah Christipher dan Victoria, namun Daniel yang terdengar apa yang telah terjadi bertindak menghubungi 991 bagi mendapatkan bantuan kecemasan dan dia ketika itu sempat menyembunyikan diri. Tetapi, Daniel ketika itu turut dibunuh kerana terpedaya dengan lakonan Michael yang berpura-pura seolah-olah sedang ‘meminta bantuan’ bagi melepaskan diri daripada Robert. Sebelum sempat mereka membunuh Autumn, pihak polis telah sampai tepat pada waktunya. Pihak polis ketika itu, sempat melihat darah-darah yang berlumuran di atas lantai.

Ketika itu, Michael dan Robert yang mendengar siren kereta polis sempat melarikan diri ke dalam hutan yang berdekatan. Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua apabila pihak polis berjaya mengesan mereka berdua dalam masa yang cepat.

Motif pembunuhan

Foto: Ap News

Difahamkan, faktor dikongkong dan sering didera oleh ibu bapa mereka, menyebabkan Michael dan Robert bertindak melakukan pembunuhan kejam itu. Kehidupan mereka hanya 100% di rumah dan mereka ini sama sekali tidak dibenarkan untuk menjalani kehidupan sebagai remaja biasa yang boleh bersosial bersama kawan-kawan. Bayangkan, sekolah juga tidak dibenarkan dan mereka adik beradik hanya home school. Senang cerita, mereka ini perlu patuh akan setiap apa yang diarahkan oleh ibu bapa mereka, dan tidak diberi sebarang kebenaran untuk keluar seperti remaja-remaja lain. Mereka berdua turut mempunyai komputer riba sendiri, bagi kegunaan untuk belajar.

Tambahan pula, kehidupan sebagai seorang remaja ini, mereka mudah terpengaruh dan sikap ingin mencuba yang tinggi. Menerusi sesi soal siasat, sumber menjelaskan Robert ‘ketawa’ semasa menceritakan tentang apa yang dia telah lakukan. Pada asalnya, Michael dan Robert merancang untuk mengerat mayat anggota keluarganya terlebih dahulu sebelum disimpan ke dalam loteng. Namun, hasrat mereka ketika itu terkubur kerana pihak polis telah mendapat laporan tentang apa yang telah dilakukan oleh mereka. Tidak berakhir di situ, mereka berdua ‘bercita-cita’ tinggi untuk menembak orang awam secara rawak dan menyasarkan seramai 50 orang bakal menjadi mangsa ‘kegilaan’ mereka.

Inspirasi daripada pembunuhan bersiri

Foto Eric Harris & Dylan Klebold : Criminal Minds

Foto James Eagan Holmes : NY Times

Paling mengejutkan, apabila dua beradik ini mempunyai ‘minat’ terhadap pembunuh bersiri Eric Harris dan Dylan Klebold  yang merupakan individu yang terlibat dalam tembakan Columbine High Scholl Masscare 1999. Kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah dan 12 pelajar dan seorang guru menjadi mangsa kekejaman Eric dan Dylan.  Di samping itu, Michale dan Robert turut mengidolakan James Eagan Holmes, individu yang bertindak membunuh 12 orang di sebuah pawagan pada tahun 2012. Ketika kejadian, penonton panggung wayang itu sedang asyik menonton filem The Dark Knight Rises.

Hasil siasatan mendapati pada mulanya Robert sudah berniat untuk membunuh keluarganya sejak dia berusia 13 tahun, dan hasratnya berjaya selepas lima tahun kemudian. Robert hanya mengetahui adiknya Michael mempunyai niat yang sama selang beberapa tahun kemudian, sebelum mereka tekad melakukan apa yang telah terbuku selama ini. Itulah, niat tidak menghalalkan cara kan?

Dijatuhkan hukuman

Gambar sekadar hiasan

Hasil perbicaraan kes tersebut, pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Robert dan Michael yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh. Tidak berakhir di situ, Robert dilaporkan pernah mencuba untuk membunuh diri, tetapi berjaya dihalang oleh pegawai penjara.

Kedua-dua adik mereka yang terselamat iaitu Crystal dan Autumn telah selamat berada di bawah jagaan keluarga angkat (Tulsa Family). Rumah yang menjadi saksi pembunuhan kejam itu telah dibeli oleh seorang Ahli Majlis Bandar atas sumbangan orang ramai dan rumah tersebut kemudiannya dirobohkan dan dibangunkan menjadi sebuah taman peringatan. Kini, tapak rumah itu diberi nama Reflection Park, yang tersergam indah dengan pokok-pokok bunga.

Sumber: Delani Jack Lester

SKIP THIS AD ×