berita

Seorang Lagi Anggota PGA Terkena Tembakan Di Bukit Kayu Hitam, Cedera Ringan Di Perut

November 26th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Koperal Baharuddin Ramli, telah meninggal dunia selepas berlakunya insiden berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa lalu. Insiden yang dipercayai berpunca daripada 13 anggota sindiket atau ‘tentera semut’ yang mahu menyeludup ketum ke sempadan Malaysia itu turut menyebabkan Koperal Norihan A/L Tari, mengalami kecederaan yang parah.

Menerusi laporan Berita Harian, seorang lagi anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) dilaporkan cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di kawasan tersebut semalam.

Tiba-tiba terkena tembakan

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, seorang lagi anggota PGA dilaporkan cedera selepas terkena tembakan pada pukul 6.15 petang semalam. Anggita terbabit dipercayai sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum tiba-tiba terkena tembakan. Tambah beliau, anggota terbabit mengalami kecederaan ringan pada perut berikutan peluru yang dipercayai dilepaskan dari arah negara jiran terkena baju kalis pelurunya.

Susulan daripada insiden tersebut, anggota berkenaan telah dibawa keluar dan kini sedang mendapat rawatan lanjut. Ujar beliau lagi, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan oleh pihak berkuasa. Manakala, maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam tempoh masa terdekat.

18 suspek direman

Terdahulu, seramai 18 lelaki warga Thailand dan tempatan direman di Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan kejadian berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand. Dalam pada itu, tiga warga Thailand telah direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember ini, manakala 15 warga tempatan pula direman selama empat hari sehingga 28 November.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×