Wanita kedua yang didakwa mirip bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman yang ditemui di Sentul, Kuala Lumpur, semalam, disahkan bukan pembaca berita yang hilang sejak November 2021 itu.
Cap jari tak sama
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, hasil semakan identiti melalui cap jari wanita berkenaan mendapati dia bukanlah Orang Hilang (OH) yang dicari.
Pihak polis lbu Pejabat Daerah Shah Alam telah membawa wanita berkenaan ke Jabatan Pendaftaran Negara (UTC Shah Alam) dan hasil semakan mendapati wanita tersebut bukanlah OH yang dicari. Pengecaman oleh ahli keluarga juga didapati negatif.
Setakat ini, dua wanita yang dikatakan mirip Zalina Azman telah ditemui iaitu seorang di Shah Alam, pada Rabu, dan seorang lagi di Sentul, pada Jumaat.
Individu pertama yang ditemui itu telah disahkan merupakan seorang gelandangan, manakala wanita yang ditemui di Jalan Haji Salleh, Sentul pada 6 petang, Jumaat itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Mohd Iqbal berkata, pihak polis mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk mencari Zalina Azman, dan sekiranya ada maklumat lanjut, boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia di talian 016-3375269.
Sumber: FMT