berita

‘Seperti Diheret… Tak Masuk Akal Dia Terjerut’ – Che’ Puan Khaleeda Gesa Siasat Semula Kes Kematian Bayi Syifaa

June 23rd, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Isteri Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam membuat gesaan siasat semula kes kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau lebih dikenali sebagai Syifaa di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan, Februari lalu.

‘Kamu perlu siasat semula kes ini’

Menerusi satu hantaran di Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi  semula hantaran bapa bayi Syifaa, Yuseri Yusoff yang memuat naik gambar kecederaan bayi terbabit dengan laporan bedah siasat yang meragukan, serta peringatan mengenai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Koroner Seremban, 29 Jun ini.

Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi semula hantaran itu dengan bersertakan tanda pagar #justiceforbabysyifaa, selain memetik (tag) nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.

Pada hantaran seterusnya, Che’ Puan Besar Khaleeda menyuarakan pendapatnya terhadap kecederaan bayi yang baginya tidak masuk akal sekiranya terjerut tali buaian.

Bagi saya tidak masuk akal ‘Baby’ Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret.

Che’ Puan Besar Khaleeda kemudiannya berkongsi lagi hantaran Yuseri yang dibuat pada 24 Mac lalu dengan mempersoalkan bagaimana seseorang boleh melakukan tindakan sebegitu kepada seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.

Bagaimana seseorang boleh lakukan perkara ini ke atas kanak-kanak yang tidak berdaya.

Kamu perlu siasat semula kes ini.

Ragui kesan luka

Tidak lama selepas itu, Che’ Puan Besar Khaleeda sekali lagi membuat hantaran merujuk kes berkenaan dan meragui kesan luka pada leher bayi tersebut.

Dan lagi satu yang kawan saya tunjukkan, kesan di leher itu nipis. Kalau betul dijerut dengan buai, bukankah ia akan menunjukkan kesan yang lebih tebal? Tak pernah saya tengok buai yang bertali nipis.

Terdahulu, dilaporkan bayi perempuan itu meninggal dunia pada 4.30 petang, 22 Februari lalu selepas dibawa pengasuhnya ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk rawatan.

Pengasuh bayi itu mendakwa mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian, manakala badannya berada di dalam buaian.

Sumber: Instagram Che’ Puan Besar Khaleeda

SKIP THIS AD ×