Menjadi sebahagian daripada Keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan impian mereka. Tanpa diduga mereka diserang penyakit angin ahmar secara tiba-tiba. Namun, itu bukanlah titik penghalang buat mereka untuk terus berkhidmat dengan cemerlang kepada negara.
Dugaan datang tiba-tiba!
Bintara Muda (BM) Nor Zaharin Rosland, 39, dan BM Asrul Nizam Ahmad, 36, terus cekal berkhidmat unruk negara walau kedua-duanya diserang angin ahmar sebelah badan. Bertugas di Sel Kebajikan Markas Pangkalan Lumut, mereka tidak mensia-siakan amanah yang telah diberikan sebagai anggota TLDM.
Menurut Nor Zaharin, dia diserang angin ahmar di sebelah kanan badan sebanyak dua kali pada tahun 2018 dan pada tahun sama juga dia kehilangan isteri tercinta, Rosnani Arshad, ketika melahirkan anak bongsu lelaki mereka akibat komplikasi jantung.
Mengimbau kembali kejadian itu, Nor Zaharin yang mempunyai empat anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki berusia antara tiga hingga 14 tahun berkata, arwah isterinya mengalami pendarahan ketika usia kandungan tujuh bulan.
“Ketika itu arwah berada di bilik air dan saya yang masih kurang berdaya lagi seperti mempunyai kekuatan luar biasa mengangkatnya sebelum dibawa ke 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan kemudian dipindahkan ke Hospital Seri Manjung.
“Dugaan itu memang sangat berat untuk dilalui tetapi demi anak saya perlu cekal dan kuatkan semangat,” katanya memberitahu empat anaknya kini dijaga ibunya di Kampung Sahom, Kampar.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga tetapi itu sedikitpun tidak mematahkan semangat Nor Zahrin untuk terus memberikan yang terbaik demi negara.
Tambahnya lagi, dia kini menjalani fisioterapi tiga kali seminggu di HAT Lumut dan turut mengakui sudah boleh mengangkat tangannya serta akan pulang ke kampung berjumpa anaknya hampir setiap bulan dengan memandu kereta sendiri.
Berbeza dengan Nor Zahrin, Asrul Nizam, separa lumpuh pada tangan dan kaki kiri sejak tahun 2017, mengakui keadaan dirinya itu bukan alasan untuknya tidak meneruskan perkhidmatan dengan baik.
Menurutnya, sebelum ini dia bertugas sebagai staf teknikal Kapal Diraja (KD) Ledang dan ketika bertugas kepalanya terhantuk di ruangan enjin sebelum diserang sakit kepala keesokannya.
“Hasil pemeriksaan di hospital mendapati ada darah beku di kepala dan saya kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk pembedahan sebelum diserang angin ahmar.
Teruja terima kunjungan menteri Pertahanan, Ismail Sabri.
Siapa sangka, lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke teratak mereka yang terletak di Rumah Keluarga TLDM (RKTLDM) Pangkalan TLDM Lumut nyata menguatkan lagi semangat dan iltizam mereka untuk terus memberikan yang terbaik buat TLDM.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.
Pada kunjungan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan dan meluangkan masa beramah mesra dengan dua anggota berkenaan yang nyata turut memberi semangat kepada mereka.
Menurut Nor Zahrin dia terharu dan gembira ketika dikunjungi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Terima kasih kerana sudi melawat kami sekeluarga dan saya rasa sangat dihargai walaupun hanya berpangkat biasa saja,
Tambahnya lagi, dia sangat bersyukur rakan setugas dan pegawai atasan banyak memudahkan urusan kerja ketika dikunjungi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut teruja menerima kunjungan daripada Menteri Pertahanan, Asrul Nizam & isteri Noor Huzaini Yatim, 35, tersenyum gembira dan merasakan dirinya lebih bersemangat untuk bertugas biarpun mengakui rindu mahu bertugas di kapal.
Tidak pernah diabaikan bahkan sering dibantu oleh anggota yang lain ketika menjalankan tugasnya Asrul Nizam memanjatkan rasa syukur dikurniakan rakan sekerja yang memahami akan keadaan dirinya.
Pada hari sama, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan stesen pam minyak BHP Mutiara Armada serta menghadiri demonstrasi dan simbolik penyerahan enam kapal pemintas atau Fast Interceptor Craf (FIC) di Jeti Peluru.
Beliau turut berkesempatan berbuka puasa bersama warga TLDM di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM Lumut.