Sejak kebelakangan ini, gejala buli dan perbuatan ejek-mengejek dalam kalangan pelajar sekolah dilihat semakin menjadi-jadi. Isu buli ini bukan sahaja terjadi di Malaysia malah di seluruh dunia. Golongan yang dianggap lemah ini sering dijadikan mangsa sehingga membuatkan mereka terpaksa menanggung derita dari segi fizikal dan mental.
Terbaru, seorang pelajar dari China disahkan meninggal dunia selepas dia bertindak meminum racun serangga kerana tidak tahan dengan ejekan rakan-rakan sekolahnya memandangkan dia dilahirkan dalam keluarga yang miskin.
Wajah sugul dan sedih
Menerusi laporan World Of Buzz yang dipetik dari Sohu, sebelum kejadian, kanak-kanak yang dikenali dengan nama Lu Shijie itu dikatakan pulang ke rumahnya selepas sesi persekolahan. Tetapi kali ini, wajahnya agak berbeza daripada sebelum-sebelum ini kerana dia dilihat agak sedih dan sugul sambil menyiapkan kerja sekolahnya.
Tidak lama selepas itu, bapa mangsa ada menerima satu pesanan ringkas daripada guru sekolah yang memaklumkan tentang prestasi anaknya itu semakin merosot dan sering ‘buat perangai’. Bapanya itu kemudian bertanyakan kepada Shijie untuk mengetahui punca sebenar mengapa dia berkelakuan seperti itu semasa di sekolah. Pada ketika itu, Shijie menceritakan kejadian sebenar dan memberitahu dia hanyalah mempertahankan diri sebagai mangsa prejudis guru di sekolahnya.
Guru pilih kasih
Menceritakan kisah itu, Shijie yang berusia 14 tahun itu mengatakan bahawa gurunya di sekolah bersikap pilih kasih kerana ada suatu ketika, semasa dia dan rakan-rakan sedang bermain tiba-tiba gurunya itu masuk ke dalam kelas dan hanya memarahi Shijie sahaja. Tindakan guru itu membuatkan dia berasa dirinya dipinggirkan kerana tidak diberi layanan yang sama seperti rakan-rakan yang lain.
Selepas menceritakan kejadian sebenar itu kepada bapanya, Shijie kemudian bertindak melarikan diri dari rumah. Bapa mangsa terus mengejar Shijie namun apabila ditemui anaknya itu sudah terbaring di sebelah botol racun serangga yang telah diminum. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan mendapatkan rawatan kecemasan selama 24 jam, tetapi malangnya doktor mengesahkan Shijie telah meninggal dunia akibat kegagalan sistem pernafasan.
Pihak sekolah menafikan
Difahamkan juga, selepas ibu bapa Shijie bercerai, dia tinggal di bersama datuk dan neneknya di sebuah ladang memandangkan bapanya terpaksa ulang alik untuk bekerja. Tambahnya lagi, anaknya itu seorang yang introvert dan pendiam, dia kurang menceritakan masalah yang dihadapinya kepada ahli keluarga. Guru-guru di sekolah juga kurang mengambil berat terhadap anaknya itu memandangkan dia bukanlah pelajar yang berasal dari situ disamping prestasi akademiknya di sekolah kurang memuaskan.
Selepas kematian Shijie, bapanya telah pergi ke sekolah untuk berjumpa dengan rakan-rakan Shijie dan dia amat terkejut apabila mengetahui anaknya itu sudah lama menjadi mangsa buli. Pembuli tersebut sering mentertawakan Shijie kerana dijemput oleh datuknya di sekolah dengan menaiki basikal tua selain menjadikan pakaian lusuh yang dipakai anaknya itu sebagai bahan jenaka.
Pihak sekolah bagaimanapun menafikan kejadian buli terhadap Shijie dan enggan memberi sebarang komen. Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dengan insiden ini.
Sumber: World Of Buzz, Sohu