berita

Sesak Teruk Di Cameron Highlands, Ramai Terpaksa Check In Dalam Kereta

September 11th, 2018 | by Amat
Kini Trending

Rata-rata keluarga mengambil keputusan untuk membawa keluarga tersayang bercuti dan meluangkan masa bersama. Semestinya kawasan peranginan Cameron Highlands menjadi pilihan sekeluarga untuk bercuti disana dek kerana suhu sejuk dan nyaman.

Tular di media sosial beberapa foto menyaksikan kesesakan lalu lintas yang teruk di situ. Ini merupakan kali pertama kesesakan lalu lintas kelihatan luar biasa berlaku di kawasan percutian itu berikutan cuti umum yang panjang. Ini jawapan Ahli Parlimen Cameron Highlands terhadap kesesakan lalu lintas dan kunjungan pelancong ke situ.

Ramai tidur dalam kereta

Ramai juga pengunjung mengeluh kerana hampir semua tempat penginapan seperti hotel dan homestay hampir penuh sehingga terpaksa bermalam di dalam kereta. Malah, ada menyifatkan percutian ke tanah peranginan ini seperti mimpi ngeri dan serik untuk bertandang ke sana lagi.

Keadaan jalan sesak tahap kritikal di Cameron Highlands hari ini! Perjalanan hanya 1km menaiki kereta ambil masa lebih sejam.

Ada rakan-rakan mengatakan ramai yang tidur di dalam kereta semalam (8 September) kerana hampir semua hotel dan homestay penuh! Sebak rasa dengan anak-anak kecil dan cuaca sejuk.

Hotel dan homestay penuh

Susulan dari itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh menjelaskan kesesakan lalu lintas itu bukanlah sesuatu yang baru. Kawasan peranginan itu telah menarik kira-kira 20 ribu pelancong dari dalam dan luar negara setiap minggu.

Disebabkan cuti panjang bermula Sabtu lalu, kadar kemasukan pelancong ke Cameron Highlands meningkat sehingga 50,000 orang dalam masa empat hari lalu. Semua pusat penginapan seperti hotel atau rumah sewa penuh.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Cameron Highlands ini telah mencadangkan dan mendapat kelulusan bagi melaksanakan Pelan Mitigasi Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands. Malah, projek ini memerlukan kira-kira Rm40 juta kos pembinaan bagi pembinaan kawasan parkir kenderaan bertingkat dan penambahbaikan serta pembukaan laluan baru.

Perlukan pelan mitigasi

Bagaimanapun, saya telah berbincang bersama kepimpinan di Pahang, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy bagi penubuhan jawatankuasa sementara di bawah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands untuk menilai dan merancang semula inisiatif baharu bagi tujuan mitigasi kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

Semua hasil kajian serta cadangan jawatankuasa ini akan dibawa ke perhatian kementerian berkaitan di peringkat kerajaan Pusat dan negeri. Saya percaya bahawa Cameron Highlands memerlukan satu pelan mitigasi kesesakan lalu lintas yang komprehensif dan efektif dalam jangka panjang.

Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terlibat khususnya rakyat, agensi dan jabatan kerajaan serta kementerian yang berkaitan perlu supaya isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands dapat ditangani dengan segera.

Sumber: mStar

SKIP THIS AD ×