berita

Setelah 10 Tahun Berlalu, Bekas Produser CNN Dedah Bagaimana CIA Amerika Syarikat Tahu Lokasi Osama Laden Sembunyi

August 4th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Foto: New York Post

Menerusi sebuah buku ‘The Rise and Fall of Osama bin Laden’ yang ditulis oleh bekas produser CNN, Peter Bergen menceritakan mengenai cara kerja Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) ketika mendedahkan lokasi persembunyian Osama Laden.

Hanya diketahui melalui jemuran baju

Foto: New York Post

Menurut Peter, lokasi persembunyian Osama Laden diketahui melalui jemuran baju oleh isterinya. Jemuran baju itu juga menguatkan lagi risikan CIA untuk menemui rumah lelaki yang dianggap buruan paling penting pada waktu itu. Osama dikatakan individu yang bertanggungjawab dalam serangan 9 November yang mengorbankan hampir 2,977 mangsa. Keluarganya juga berpecah belah semasa insiden berkenaan berlaku. Berikutan daripada itu, Osama dipercayai bersembunyi di pergunungan Afghanistan dan utara Pakistan.

Pada tahun 2004, ketika Amerika Syarikat disibukkan dengan perang di Afghanistan dan Iraq, Osama menyedari pemburuannya sudah reda. Tambah Peter, Osama telah memerintahkan pembantu peribadinya, Ibrahim Saeed Ahmed Abd Al Hamid untuk membeli tanah, mengupah arkitek dan membina rumah yang paling besar agar mereka sekeluarga boleh kembali menetap bersama di Abottabad, Pakistan. Ujar Peter lagi, Ibrahim telah membeli tanah bernilai AS$50,000 (RM211,265) atas namanya dan merancang membangunkan rumah mengikut kehendak Osama.

Bercerita mengenai reka bentuk rumah, Peter menjelaskan rumah tersebut dibangunkan secara tiga tingkat. Terdapat empat bilik tidur di tingkat satu, empat lagi di tingkat dua dan setiap bilik mempunyai bilik mandi. Manakala, tingkat paling atas adalah bilik mandi, bilik tidur, ruang belajar dan balkoni untuk Osama. Pada waktu itu juga, Osama telah menerapkan protokol keselamatan yang ketat supaya tidak dikesan. Malah, mereka membuat panggilan penting di bandar besar sebelum mencabut bateri daripada telefon bimbit supaya tidak boleh dikesan.

Guna identiti palsu

Foto: Identiti palsu yang digunakan oleh isteri ketiga Osama (New York Post)

Di samping itu, Peter turut memberitahu bahawa keluarga Osama jarang meninggalkan rumah kecuali isteri ketiganya iaitu Amal El Sadah. Amal dipercayai dua kali ke hospital setempat untuk melahirkan bayi mereka menggunakan nama samaran. Wanita tersebut telah menggunakan surat identiti palsu dan berpura-pura pekak untuk mengelak soalan mencurigakan.

Berbalik semula kepada kisah penemuan lokasi Osama, CIA mendapat petunjuk baharu pada tahun 2010 apabila salah seorang pemberi maklumat di bandar Peshawar, Pakistan, ternampak pengawal setia Osama iaitu Ibrahim. Ejen CIA dipercayai mengikut gerak geri lelaki tersebut sehingga mereka ternampak sebuah rumah besar yang dikelilingi kawat berduri. Ujar Peter, CIA berasa pelik kerana rumah tersebut tidak mempunyai jaringan komunikasi atau internet, sedangkan pemiliknya dipercayai sangat kaya. Pengarah CIA pada masa tersebut, Leon Panetta turut meluahkan rasa hairan dan bertindak mendirikan sebuah rumah persembunyian berdekatan tempat tinggal pemimpin Al-Qaeda itu.

Sepanjang pasukan CIA menetap di sana, mereka berjaya meneliti kehidupan penduduk sekitar dan menemui beberapa kisah yang menarik. Antaranya, jiran tetangga akan membuang sampah mereka seperti biasa, tetapi tuan rumah yang besar itu akan selalu membakar sampahnya secara sendiri. Rumah tersebut juga dikelilingi tembok kebun kecil untuk menanam epal, sayuran, anggur, madu, malah ayam dan lembu juga dipelihara. CIA yakin bahawa rumah tersebut milik Osama. Pakaian yang dijemur setiap hari juga dipercayai pakaian milik pemimpin Al-Qaeda itu.

Serah semua bukti

Foto: Leon Panetta (New York Post)

Dalam buku ‘The Rise and Fall of Osama bin Laden’, Peter turut bercerita mengenai cara CIA mengira pakaian yang dibasuh setiap hari. Jumlah pakaian tersebut jelas menggambarkan bilangan keluarga Osama. Ini kerana, Osama memiliki tiga orang isteri, lapan orang anak, empat orang cucu termasuk bayi berusia dua hingga tiga tahun. Pada bulan Disember 2010, Leon Panetta telah menyerahkan kesemua bukti yang diperoleh oleh pihaknya kepada Presiden, Barack Obama. Sebaik sahaja menerima kesemua bukti, Obama dipercayai yakin dengan pendedahan tersebut dan mengarahkan Navy Seal Amerika Syarikat untuk melakukan operasi seterusnya. Pada 1 Mei 2011, Osama akhirnya dibunuh dan umurnya pada masa tersebut ialah 54 tahun.

Sumber: New York Post

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×