Bahang kehangatan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 semakin dirasai apabila finalis bagi 14 kategori utama dan empat kategori dalam talian telah diumumkan menerusi program Melodi di TV3, baru-baru ini.
Berikutan daripada itu, pihak OhBulan! berpeluang untuk menemubual salah seorang finalis Youtuber Popular iaitu Aqil Zulkiflee.
Sekadar isi masa lapang pada mulanya
Menerusi sesi temubual yang dijalankan, kami sempat bertanya beberapa soalan kepada Aqil mengenai bagaimana dia boleh terdetik dan mendapat idea untuk menjadi seorang Youtuber. Pada masa yang sama, siapa yang mendorong dirinya untuk sampai ke tahap ini.
Aqil pada mulanya hanya menggunakan instagram saja sebagai platform untuk membuat content. Tapi disebabkan mulanya PKP yang pertama, Aqil berhasrat untuk cuba buat content di Youtube. Disebabkan bosan terkurung di rumah kerana PKP, membuat video di Youtube dapat mengisi lapang yang ada sepanjang Aqil di rumah.
Menurut Aqil, pada mulanya dia membuat content di Youtube sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini. Namun begitu, dia tidak menyangka hobi suka-suka tersebut bertukar menjadi minat dan seterusnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengikut di Youtube.
Aqil pada mulanya membuat suka-suka sendiri, kemudian didorong oleh Shah (kawan Aqil) untuk merakam, membuat content setiap hari di rumah. Jadi Aqil mula perlahan-lahan sendirian menaikkan subscribers di Youtube dengan menghasilkan video setiap hari.
Kecaman dan ejekan dah menjadi lumrah
Mempunyai seramai 1.27 juta subscribers di Youtube, Aqil meluahkan rasa terharu apabila masyarakat mula nampak dan menghargai hasil kerja kerasnya dalam menghasilkan content di Youtube. Disoal mengenai susah payah menjadi seorang Youtuber, Aqil memberitahu bahawa dia terpaksa ‘perah’ otak untuk memikirkan content yang terbaik buat semua lapisan masyarakat khususnya subscribers yang telah mengikuti perkembangannya sejak awal lagi.
Selama ni buat video tak ada orang kisah sangat pun, tapi kali ni di Youtube dapat sambutan tinggi dan subscribers juga menanti setiap video yang akan dihasilkan seterusnya. Kena perah otak untuk memikirkan content dan mendapatkan idea untuk membuat video setiap hari. Edit video juga sangat memenatkan kerana video dihasilkan sendiri saja. Aqil perlu juga menyusun masa setiap hari untuk shooting, edit video, uruskan bisnes, uruskan campaign oleh client.
Meskipun terpaksa bekerja keras untuk menghasilkan sesuatu yang menarik dan disukai ramai, Aqil meluahkan rasa gembira apabila jumlah subscribers mencecah lebih daripada 1 juta. Ujarnya lagi, momen tersebut merupakan kenangan terindah buat dirinya. Apabila bercerita mengenai kenangan pahit pula, remaja berusia 25 tahun itu mengakui bahawa dia pernah mendapat kecaman dan ejekan daripada netizen.
Saingan sangat sengit
Pihak OhBulan! sempat bertanya kepada Aqil mengenai reaksinya apabila mendapat tahu bahawa dirinya tercalon sebagai finalis Youtuber Popular ABPBH ke-34. Ujar Aqil, dia berasa sangat terkejut kerana Youtuber diberi peluang sama seperti artis untuk anugerah berprestij seperti ini.
Sebelum ini tidak pernah ada penghargaan dari stesen TV untuk youtuber atau social media influencer. Kebiasaannya artis sahaja yang layak untuk anugerah seperti ini. Apa pun Aqil bersyukur dicalonkan sehingga mendapat Top 5 ABPBH. Aqil sentiasa berusaha setiap hari membuat promosi untuk orang ramai mengundi Aqil.
Bagi Aqil semua orang saingan sengit sebab Aqil baru saja membuat youtube dalam 2 tahun, tidak seperti youtuber lain yang lebih lama membuat video youtube.
Di akhir sesi temubual, Aqil bersyukur kerana mempunyai keluarga dan peminat yang sangat ‘supportive’. Jelas Aqil, tanpa sokongan keluarga mungkin dia tidak sampai ke tahap ini.