Seperti yang kita sedia maklum bahawa majlis-majlis keramaian dan aktiviti majlis sosial seperti majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun kelahiran dan sebagainya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Meskipun arahan sudah dikeluarkan, tetapi ada segelintir dalam kalangan rakyat Malaysia masih degil dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Artikel Berkaitan: Gagal Patuh SOP, Pengantin Bersama 17 ‘Bridesmaid’ Kena Kompaun Seronok Buat Outdoor Photoshoot
Terbaru, seramai 17 individu telah dikenakan kompaun kerana mengadakan majlis sambutan hari lahir ketika PKP.
Sewa vila sambut hari jadi
Sekadar gambar hiasan (Berita Harian)
Berdasarkan laporan yang dipetik daripada Free Malaysia Today, kesemua individu terbabit berusia dalam lingkungan 18 hingga 32 tahun. Mereka dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 seorang selepas pihak polis mengesan aktiviti majlis sosial dilangsungkan mereka di sebuah vila di Ulu Melaka, Langkawi
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari, kegiatan tersebut disedari oleh anggota polis semasa mereka membuat rondaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi. Tetapi, semasa tiba di sana, anggota polis mengesyaki sesuatu selepas melihat banyak kenderaan yang diparkir di kawasan tersebut. Malah, kedengaran juga bunyi bising datang dari vila berkenaan.
Kumpulan tersebut yang tinggal di sekitar pulau ini menyewa vila tersebut, untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir seorang rakan mereka. Bagaimanapun ketika pemeriksaan, rakan yang diraikan itu tidak berada di lokasi tersebut kerana pulang sebentar ke rumahnya.
Susulan daripada itu, kesemua mereka telah dibawa ke balai polis dan dikenakan kompaun RM1,000 seorang. Sementara itu, saringan ujian air kencing juga dilakukan ke atas mereka dan hasilnya didapati negatif.
Sumber: Free Malaysia Today