Penyanyi Aina Abdul mendedahkan tahap kesihatannya kurang baik ketika membuat persembahan pada saringan hari pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) menerusi lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’.
‘Saya kurang sihat’
Menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, kesihatannya mula merosot selepas menjayakan konsert solo A Night With Aina Abdul 3.0 pada 18 November lalu.
Saya memang kurang sihat sedikit hari ini, sebab selalunya kalau selesai kerja besar macam konsert, kesihatan saya memang akan rasa tak sedap badan dan jatuh sakit.
Selepas konsert saya hari itu, saya belum ada rehat yang panjang. Memang boleh kerja, tetapi badan perlu rehat.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media saringan hari pertama SFMM38 yang diadakan di Studio 1, NTV7, Shah Alam, pada Jumaat.
Bagaimanapun kata Aina, dia sudah mendapatkan pemeriksaan doktor mengenai keadaan kesihatannya.
Tetapi saya sudah berjumpa dengan doktor untuk periksa kesihatan selain buat juga aktiviti senaman. Saya ikut juga nasihat doktor apa yang boleh buat, apa yang tidak boleh.
Termasuk makanan, apa yang disuruh makan saya ambil. Kalau tidak disuruh saya tak ambil. Alhamdulillah saya boleh menyanyi tadi.
Saya bukan demam tetapi ada masalah dengan sistem penghadaman, tidak boleh makan makanan pejal, hanya makanan berair sahaja.
Dalam masa sama, Aina turut meluahkan rasa syukur apabila lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ diumumkan sebagai lagu terbaik dan lagu Pilihan Alha Alfa.
Saya sangat bersyukur hari ini dan tidak sangka menang lagu terbaik dan lagu pilihan Alha Alfa. Saya datang hari ini hanya ingin menyanyi dan menghiburkan peminat saya.
Apabila diberi pernghargaan daripada juri dan peminat, sangat terharu dan dalam masa sama rasa sebak.
Lagu-lagu yang bertanding pada hari pertama ini juga sangat hebat, ada yang lagu saya minta dan penyanyi yang suka.
Dengan semangat itu membuatkan saya ingin lakukan yang terbaik. Saya anggap ini juga rezeki untuk peminat saya, Ainations.
Terdahulu, Aina berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 (lagu terbaik) & RM2,000 (lagu Pilihan Alha Alfa).