Pelumba basikal trek negara iaitu Shah Firdaus mendedahkan ada menerima mesej daripada pelumba negara Jepun iaitu Shinji Nakano yang memaklumkan dirinya diserang ‘tentera bawang’ Malaysia di media sosial.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Dihimpit Pelumba Perancis & Hampir Jatuh, Pacer Gerak Perlahan’ – Azizulhasni Awang Perjelas Situasi Sebenar
Malu dengan Shinji Nakano
Memetik laporan Berita Harian, Shah Firdaus atau nama sebenarnya Shah Firdaus Shahrom memaklumkan dirinya berasa sedikit kecewa dengan tindakan segelintir wargamaya Malaysia yang bertindak meninggalkan kecaman terhadap Nakano.
Bukan itu sahaja, Shah Firdaus menganggap tindakan itu sebagai satu tindakan yang boleh menjatuhkan imej negara apatah lagi dia dan Nakano bersahabat baik.
Malam semalam (kelmarin) dia mesej saya, kata dia kena serang (di akaun media sosialnya). Saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.
Itu bukan akaun TikTok Nakano, dia sendiri cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan dan akaun TikTok itu, biasalah orang buat cerita.
Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya.
Dipercayai, komen-komen itu ditinggalkan ekoran ketidakpuasan hati mereka susulan perlanggaran antara Shah Firdaus dan Nakano dalam perlumbaan final acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelanggaran adalah perkara biasa
Dalam pada itu, Shah berharap agar rakyat Malaysia berhenti untuk meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral tanpa mengetahui kejadian yang sebenar.
Jelas Shah, pelanggaran yang berlaku adalah satu perkara biasa untuk terjadi dalam kalangan pelumba pada setiap edisi pertandingan.
Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga.
Perkara itu memang berlaku, memang ada ‘body contact’ dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu semua sebab ‘G-force’.
Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja.
Keirin biasalah, ada ‘body contact’ apa semua, cuma mungkin daripada mata penonton macam dia sengaja tetapi memanglah, semua orang nak menang jadi tak ada dendam apa-apa.
Terdahulu, Shah Firdaus yang hampir pasti menggenggam pingat gangsa bagi perlumbaan final keirin pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 terpaksa akur menduduki tempat keempat selepas mengalami pelanggaran dengan pelumba jepun, Shinji Nakano.
Walau bagaimanapun, Shah Firdaus kemudiannya disahkan tidak dapat menamatkan perlumbaan dan terpaksa akur diturunkan ke kedudukan keenam.
Insiden itu telah menimbulkan kemarahan netizen yang kemudiannya bertindak menyerang akaun media sosial Nakano sebelum tercetusnya satu hantaran permohonan maaf kepada Malaysia di akaun TikTok yang kononnya milik pelumba Jepun berkenaan.
Sumber: Berita Harian