Penyanyi Shah Indigo mendedahkan dirinya sudah lama mengetahui tentang masalah jantung yang dihadapi Allahyarham Bad Indigo.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jenazah Bad Indigo Selamat Dikebumikan
Artikel Berkaitan: Ashira Aziz Menggigil & Hilang Kata Tahu Bad Indigo Meninggal – ‘Kami Dah Lama Tak Hubungi Selepas Cerai’
Sakit jantung sejak 2015
Ketika ditemui OhBulan!, Shah berkata dia mengetahui Bad mempunyai masalah jantung sejak tahun 2015 lagi.
Bagaimanapun kata Shah, dia bersyukur apabila arwah sudah mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat bagi mengawal sakit itu.
Saya dengan dia, kami sangat rapat, kami pernah tidur sebantal sama-sama, terlalu banyak kenangan. Mungkin sebab itu dia selesa untuk cerita dengan saya fasal kesihatan dia berbanding orang lain.
Tapi saya hanya simpan cerita itu, sebab dia sendiri tidak mahu bagitahu orang lain.
Saya tahu dia ada masalah jantung sejak tahun 2015 lagi, cuma sakit itu bukan datang tiap-tiap hari, on and off. Dia pun sudah mula mengamalkan pemakanan yang sihat untuk kawal sakit itu. Dia dah mula bersenam dan amalkan gaya hidup yang sihat.
Shah berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pada Jumaat.
Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Liza Hanim itu turut mendedahkan arwah pernah jatuh sakit di hadapannya sebanyak empat kali.
Saya faham dengan masalah kesihatan yang dia alami, dengan keadaan kaki dia yang begitu (kencing manis). Saya cuba sedaya upaya untuk bantu apa yang boleh.
Selain itu, dia juga ada masalah jantung. Dengan saya sendiri pun dia pernah empat kali jatuh sakit pasal jantung, waktu kami bekerja dan di pejabat saya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Bad telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Tun Abdul Aziz Seksyen 14, Petaling Jaya.
Semalam, Allahyarham Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah dilaporkan meninggal dunia di tempat kerjanya di Ampang kira-kira jam 7 malam.
Sekadar info, Bad bergelar bapa tunggal sejak 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan, 14, dan Rania, 13.