Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku 41 akaun dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Berikutan daripada isu tersebut, pasangan duo Sharif dan Syaiful berkata, mereka berasa sedikit bimbang pada awalnya sebaik sahaja mendengar berita itu.
Akan terus beri sumbangan
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Sharif berkata kebimbingan tersebut akhirnya terlerai apabila tabung pertubuhan yang mereka salurkan tersebut tidak berada dalam senarai yang diperkatakan.
Ujar Sharif lagi, mereka akan terus membuat sumbangan sekiranya memenangi pertandingan Famili Duo musim ketiga (FD3).
Hasrat menyumbang kepada tabung Palestin akan diteruskan sekiranya kami menang di separuh akhir dan final. Itu adalah sasaran kami.
Sharif dan Syaiful yang ditemui di majlis meet and greet FD3 yang diadakan di KL East Mall, semalam, turut memberitahu bahawa mereka masih dalam proses memperbaiki diri meskipun sudah tiga kali menjadi juara mingguan di program hiburan tersebut.
Sebenarnya agak tertekan juga selepas menang tiga kali. Setiap minggu kami sudah berikan yang terbaik, takut di minggu akhir hilang idea pula.
Itulah yang selalu berlaku dalam pertandingan sebelum ini. Pernah menyertai banyak pertandingan mungkin satu kelebihan buat kami, tetapi di FD3 ini ia adalah program nyanyian. Cuma pengalaman lepas kami gunakan sebagai mungkin untuk rasa selesa di atas pentas.
Disoal mengenai perancangan selepas Famili Duo, duo adik beradik ini berkata, mereka akan melancarkan lagu baru nanti.
Lepas tamat FD3 kami akan lancarkan lagu baru. Kami ini bukanlah penyanyi cuma peluang ini diambil untuk kembangkan bakat dalam dunia seni.
Terdahulu, Sharif dan Syaiful memberitahu sebahagian wang kemenangan yang diraih sebagai juara mingguan akan disumbangkan ke tabung Palestin menerusi tabung pilihan mereka sendiri.