Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir berkongsi kejadian dia diganggu oleh seorang wanita yang didakwa menyukai kaum sejenis sewaktu melakukan sesi siaran langsung di platform TikTok, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Shiha Zikir Dah 15 Tahun Bercinta, Cuba Kahwin Tahun Ini Dengan Kekasih – ‘Baju Dah Siap Tiga Tahun’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Shiha Zikir Dedah Restoran Nasi Ayam Kena Gangguan Sihir, Kerap Mimpi Dibelit Ular Warna Hitam
Diganggu wanita ‘lesbian’?
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 36, berkata, dia terkejut melihat perilaku wanita terbabit yang seakan menyukai dirinya.
Dakwa Shiha, berkemungkinan wanita tersebut berani berbuat demikian disebabkan tidak mengetahui dirinya seorang selebriti.
Sebelum ini saya jarang bermain media sosial, tetapi dengan peredaran masa. Sekarang saya sering buat siaran langsung di TikTok, untuk lebih dekat dengan peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya.
Ada sekali kejadian satu hari itu, saya terima ‘request’ daripada seorang wanita nak masuk live saya. Rupanya dia nak ‘try’ saya, macam minat dekat saya. Saya waktu itu sangat terkejut, selalunya lelaki yang nak ‘try’ saya. Tetapi kali ini perempuan.
Saya rasa dia tidak tahu yang saya ini selebriti, sebab itu dia berani buat begitu. Tengok dia macam orang Malaysia tetapi menetap di luar negara.
Shiha berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual bersama barisan pelakon sitkom komedi terbaharu terbitan TV3, Jabatan Call Centre (JCC) di Glenmari, Shah Alam, pada Isnin.
Selain itu, pelantun lagu Irama ini turut mendedahkan pernah diganggu oleh seorang wanita yang berperwatakan seperti lelaki di kedai makan dan melalui mesej pesanan terus (DM) di media sosial.
Ada juga satu kejadian berlaku tahun lepas, saya sering berjumpa dengan seorang individu perempuan ini dekat kedai makan. Dia macam ‘boyish’, dia cari saya sampai media sosial semua. Awalnya macam okay, lama-kelamaan rasa macam pelik.
Tapi dia sudah berhenti ganggu saya. Dia pernah ‘DM’ saya tanya kenapa dah lama tak nampak dekat kedai itu, dia kata rindu. Saya baca sahaja mesej berkenaan, tidak balas pun.
Bagaimanapun, kata Shiha dia tidak menilai seseorang individu itu melalui luaran, sebaliknya sudi untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Apa pun saya tidak menilai seseorang individu itu, saya berkawan dengan semua orang. Meskipun mereka mengaku diri mereka lelaki lembut. Sebab kita tak tahu perakhiran hidup kelak bagaimana.
Jadi saya berkawan dengan sesiapa sahaja, jangan rasa takut nak dekat dengan saya sebab takut saya ‘judge’ mereka.
Dalam perkembangan terkini, Shiha bakal menjayakan sebuah sitkom komedi berjudul Jabatan Call Centre (JCC) yang akan disiarkan di TV3.
Selain Shiha, sitkom tersebut turut menampilkan Rita Rudaini, Aya Amiruddin, Andi Bernadee dan Izzue Islam.