Sebelum ini, penyanyi Shila Amzah pernah memaklumkan dia berhasrat untuk melahirkan cahaya mata hasil perkahwinannya bersama pempengaruh, Ubai MZ secara normal.
Walau bagaimanapun, hasrat tersebut tidak tercapai apabila Shila terpaksa melahirkan anaknya yang diberi nama Rhea Akira secara pembedahan.
Artikel Berkaitan: Shila Amzah Selamat Bersalin Bayi Perempuan – ‘Assalamualaikum Puteriku, Rhea Akira’
Tali pusat terbelit
Menerusi sesi soal jawab bersama pengikutnya di Instagram Story (IG Story), pemilik nama Nurshahila Amir Amzah ini memaklumkan dia perlu melakukan kaedah pembedahan kerana tali pusat bayi dalam kandungannya ketika itu terbelit di bahagian muka.
Rhea dah terbelit tali pusat jadi terpaksa juga (melakukan kaedah pembedahan).
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Patah Seribu’ ini memaklumkan dirinya tidak menyarankan mana-mana wanita di luar sana untuk melahirkan anak secara normal.
Sebaliknya, ikut nasihat doktor demi keselamatan anak yang bakal dilahirkan.
Apa-apa pun, Sha tak nak galakkan anda semua cuba lahirkan anak secara normal, semoga dipermudahkan.
Percaya pada naluri dan lakukan apa sahaja yang terbaik untuk baby dan diri kita.
Sementara itu, penyanyi berusia 33 tahun ini tampil memaklumkan dia dan suami memilih nama Rhea Akira yang membawa maksud kemenangan dan terang.
Sekadar info, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli pada 5 Ogos 2023 selepas penyanyi itu berpisah dengan bekas suami, Haris Idraki pada 8 Februari 2022.
Hasil perkongsian hidup, Shila dan Haris dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais.
Sumber: Instagram Shila Amzah