Pelawak dan usahawan Shuib mengakui syarikat jenama minuman miliknya, Bubble Bee culas membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang didakwa seorang individu, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Pekerja, Ini Respon Shuib – ‘Saya Akan Berbincang Dengan Pihak Pengurusan Bubblebee’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Watie Imbas Momen Pertama Kali Dating, Shuib Siap ‘Booking’ Satu Pawagam – ‘Dia Kelakar & Wangi Gila!’
Rundingan dengan KWSP
Menerusi perkongsian di Instagram, Shuib berkata masalah tersebut timbul disebabkan berlakunya salah urus dalam syarikatnya dan juga perubahan sistem pengurusan.
Bagaimanapun, jelas Shuib, pihaknya telah melakukan rundingan dengan pihak KWSP bagi menyelesaikan caruman pekerja yang tertunggak.
Saya akui Bubble Bee ada sangkut KWSP, cuma saya nak buat pencerahan apabila kenyataan tular itu seolah-olah memang langsung tidak mengendahkan tentang KWSP pekerja.
Awal tahun ini kami (Bubble Bee) berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pihak mereka tentang tunggakkan caruman yang mana kami tak dapat bayar sekali gus.
Kami buat rundingan untuk bayar secara ansuran sebab itu adalah tanggungjawab syarikat. Alhamdulillah kami pun ada buat sebahagian pembayaran (tunggakan).
Dalam perkongsian sama, Shuib menjelaskan sejak perniagaan itu ditubuhkan tiga tahun lalu, dia tidak terlibat dalam pengurusan kewangan, sehingga dia mengambil alih sepenuhnya selepas timbul masalah pada hujung tahun lalu.
Daripada awal bermulanya Bubble Bee saya memegang jawatan sebagai ketua pemasaran tetapi saya tidak menjaga bahagian lain termasuk kewangan.
Sampailah tahun ketiga saya dapati Bubble Bee mempunyai masalah pengurusan. Memang kami mendapat keuntungan yang tinggi tetapi apabila berlaku salah laku dalam pengurusan, banyak masalah berlaku.
Pada November tahun lalu, saya dan rakan kongsi boleh dikatakan mengambil alih semuanya.
Keluar duit sendiri
Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu akui tidak mudah untuk menguruskan perniagaan dan mendedahkan adakalanya dia terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri bagi menyelesaikan masalah syarikat.
Tambah Shuib lagi, meskipun wujud isu caruman KWSP, pihahknya bagaimanapun tidak pernah culas membayar gaji pekerja.
Sepanjang kami beroperasi kita lalui saat genting sewaktu PKP kami tidak pernah potong gaji pekerja. Sampai sekarang pun kami tidak pernah tidak membayar gaji pekerja.
Kalau kata pengasasnya hidup mewah, takkan saya nak kena cakap berapa banyak duit sendiri yang saya dah keluarkan untuk Bubble Bee.
Saya anggap ini adalah satu dugaan dalam perniagaan yang perlu saya lalui. Kami percaya Bubble Bee boleh pergi sangat jauh dengan pengurusan yang betul.
Sebelum ini, tular di laman TikTok apabila seorang individu mendakwa syarikat Bubble Bee tidak membayar caruman KWSP pekerja sejak awal tahun 2023.
Tidak hanya itu, individu tersebut turut mendakwa berlakunya kelewatan pembayaran gaji serta elaun kerja lebih masa pekerja Bubble Bee.
Sumber: Instagram