Adakah korang pernah terbayang tentang masa depan di mana peluang pekerjaan bukan saja banyak tetapi juga menjanjikan kestabilan dan pendapatan tinggi?
Tahun ini, Belanjawan 2025 hadir sebagai kunci utama untuk merealisasikan impian tersebut.
Dengan fokus kepada pendidikan teknikal, latihan vokasional (TVET) dan peluang kerjaya bernilai tinggi, Kerajaan komited untuk memastikan rakyat Malaysia, terutama anak muda, bersedia menghadapi dunia kerja yang semakin mencabar.
Ini bukan sekadar janji tetapi pelaburan besar-besaran untuk menjadikan rakyat kita lebih berkemahiran dan berdaya saing.
Belanjawan 2025 beri laluan emas untuk anak muda melalui TVET
Kerajaan memberikan penekanan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk melahirkan tenaga kerja yang cekap dan relevan.
Dengan peruntukan sebanyak RM7.5 bilion tahun hadapan, TVET kini lebih mudah diakses oleh anak muda dari semua latar belakang. Kalau korang fikir nak asah kemahiran dalam bidang seperti teknologi, tenaga hijau atau penjagaan kesihatan, ini peluang terbaik untuk korang.
Peluang pendidikan dan latihan TVET juga turut dipertingkatkan, termasuk dana pendidikan sebanyak RM1.2 bilion kepada 77,000 pelajar kolej vokasional dan sekolah menengah teknik.
Malah, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan pembiayaan sehingga RM500 juta untuk manfaat lebih 20,000 pelatih termasuk RM100 juta khusus untuk bidang keutamaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) seperti penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO), kereta elektrik (EV), aeroangkasa dan kecerdasan buatan (AI).
GiatMARA dan kolej komuniti pula disediakan sebanyak RM55 juta bagi lima tahun untuk mengupaya 10,000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga bersetuju kadar Geran Per Kapita (PCG) bagi TVET ditingkatkan sebanyak 15 peratus sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.
Menurut Haziq Naim, seorang pekerja swasta yang juga alumni sekolah vokasional dan teknikal bersetuju dengan usaha Kerajaan untuk mengetengahkan TVET ini.
“Bagus, saya sokong usaha kerajaan dan berharap pekerjaan dalam bidang kemahiran ditawarkan kadar gaji setara dengan kemahiran.
“Ini kerana sekarang banyak pekerja kemahiran bukan dari golongan warganegara dan usaha ini akan menggalakkan lagi sektor pekerjaan yang menggunakan kemahiran dari graduan vokasional.” ujarnya.
Haziq yang dahulu belajar perakaunan di Kolej Vokasional Dato Lela Maharaja kini bekerja sebagai seorang pengurus akauntan.
“Berdasarkan pengalaman saya selama dua tahun belajar di sana, saya akui bahawa pembelajaran diterima membantu diri untuk menjadi tenaga mahir.” tambahnya.
Belanjawan 2025 tawar bantuan golongan rentan dengan peluang latihan
Belanjawan 2025 memang tak lupa nak bantu golongan rentan dengan pelbagai peluang latihan yang mantap! HRD Corp sediakan RM3 bilion untuk 3 juta peluang latihan, siap dengan Program Latihan MADANI khusus untuk golongan rentan.
Nak lagi best, majikan pun boleh guna levi untuk bagi elaun RM1,000 setahun kepada graduan yang menjalani latihan. Khazanah pun tak ketinggalan, dengan RM200 juta melalui Program K-Youth, fokus melahirkan 11,000 bakat tempatan dalam sektor utama macam semikonduktor.
Bagi golongan rentan dan keluarga B40, Belanjawan 2025 meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) yang memberi tumpuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pelajar yang kurang berkemampuan kini berpeluang menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik, lengkap dengan sokongan seperti latihan teknikal dan vokasional.
Ini memastikan anak muda dari latar belakang berbeza dapat bersaing secara adil di pasaran kerja.
Selain itu, RM55 juta disediakan untuk GiatMARA dan kolej komuniti melatih 10,000 anak huffaz dalam tempoh 5 tahun, serta lebih 3,000 pekerja gig melalui latihan jangka pendek.
PERKESO turut membina sebuah Pusat Rehabilitasi canggih di Terengganu bernilai RM600 juta, menyediakan rawatan pemulihan dan program kembali bekerja bagi meningkatkan daya tahan tenaga kerja.
Pemerkasaan Bumiputera dengan berikan kemudahan kepada perniagaan Bumiputera
Belanjawan 2025 kali ini memang betul-betul all out untuk bantu transformasi ekonomi Bumiputera! Kerajaan tampil dengan rantaian sokongan penuh buat perniagaan Bumiputera.
MARA sedia bantu syarikat permulaan, Ekuinas pulak fokus persediaan ke penyenaraian awam dan PNB jadi pelabur strategik untuk pembangunan seterusnya.
Yang menarik, RM1.3 bilion diperuntukkan untuk projek kecil G1-G4, siap dengan 50 ekar tanah Bandar Malaysia dijadikan Tanah Rizab Melayu. PNB dan PHB pun tak ketinggalan, dengan projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan penjagaan warga emas di tanah rizab.
Bukan itu je, kerajaan juga peruntukkan RM100 juta untuk Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) dan RM500 juta untuk usahawan Bumiputera bawah MARA.
Nak pinjam modal? Ada kemudahan RM29.5 juta untuk kaunseling, RM140 juta untuk pembiayaan Islam, dan RM16 juta khusus untuk pembangunan luar bandar. Memang peluang besar untuk usahawan naik level!
Selain itu, pekebun kecil kelapa sawit turut mendapat bantuan khas untuk meningkatkan produktiviti. Ini memberikan peluang kepada komuniti luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak untuk membangunkan ekonomi tempatan mereka.
Peluang kerja bernilai tinggi
Kerajaan juga memperkenalkan insentif cukai kepada syarikat yang mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi. Ini termasuk sektor teknologi, tenaga hijau dan penjagaan kesihatan, bidang yang kini berkembang pesat di seluruh dunia.
Ke arah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia mengkaji semula dasar dan peraturan jika sektor swasta dapat menunjukkan potensi untuk menarik pelaburan, meningkatkan aktiviti ekonomi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Pekerjaan ini bukan sahaja menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi tetapi juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bekerja di sektor yang berimpak besar.
Anak muda akan dilatih dengan kemahiran terkini melalui TVET dan diserap masuk ke sektor yang menawarkan kerjaya jangka panjang.
Menurut Mad Fazwan Bin Aidros, seorang guru mengatakan bahawa pendidikan dalam kemahiran juga penting kerana boleh dikatakan kini kurangnya pekerja mahir.
“Dengan menceburi bidang kemahiran praktikal yang relevan dengan industri diceburi, ia akan membuatkan pelajar lebih bersedia untuk memasuki ke dalam dunia pekerjaan.
“Malah, skil yang mereka miliki akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk mengambil mereka bekerja.” ujar Mad Fazwan.
Bersama mengubah masa depan
Dengan semua inisiatif ini, Belanjawan 2025 jelas mempersiapkan rakyat Malaysia untuk masa depan yang lebih cerah dan mampan.
Sama ada melalui pendidikan, latihan atau peluang kerja bernilai tinggi, kerajaan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sama rata.
Adakah korang bersedia untuk ambil peluang ini dan bina kerjaya yang lebih baik? Masa depan cerah tak tunggu kita tetapi perlukan usaha daripada kita.