Dua orang doktor pakar dan seorang bidan di Kazakhstan, telah dijatuhkan hukuman penjara kerana membunuh seorang bayi pramatang yang baru lahir.
Menerusi laporan Mirror, bayi pramatang itu dipercayai masih hidup ketika pihak perubatan di hospital berkenaan memasukkannya ke dalam peti sejuk beku mayat. Kejamnya!
Silap isytihar bayi meninggal dunia
Menurut laporan Mirror, kaki bayi pramatang itu masih bergerak pada waktu kejadian. Namun doktor pakar berkenaan didakwa enggan menyelamatkan bayi tersebut kerana mereka sudah tersilap mengisytiharkan bayi itu meninggal dunia ketika proses kelahiran.
Ekoran daripada itu, mahkamah mendapati mereka bersalah dengan sengaja membunuh bayi tersebut untuk menyembunyikan kecuaian yang telah berlaku. Ketiga-tiga individu berkenaan juga didapati berbincang untuk melemaskan bayi itu ke dalam air sebelum bertindak memasukkan bayi pramatang itu ke dalam peti sejuk beku mayat.
Sewaktu kejadian juga, salah seorang doktor telah mengatakan bahawa semoga Tuhan mengampuni perbuatan mereka. Situasi tersebut dapat dirakam secara rahsia menerusi satu panggilan telefon yang dilakukan ketika mereka sibuk membincangkan kes itu. Secara tak langsung, panggilan telefon itu juga merupakan bukti utama mereka merancang kes pembunuhan itu.
Mohon maaf kepada keluarga bayi
Bayi itu menunjukkan tanda-tanda hidup walaupun sudah diisytiharkan mati ketika proses kelahiran. Namun, pasukan perubatan di pusat pranatal wilayah Atyrau gagal menyelamatkan bayi itu walaupun pakar menyimpulkan mangsa berpeluang untuk hidup.
Menurut laporan itu lagi, Ketua Doktor, Kuanysh Nysanbaev telah memerintahkan bayi itu dimasukkan ke dalam bilik mayat walaupun mengetahui kaki bayi itu masih bergerak. Oleh itu, dia dipenjara selama 18 tahun oleh mahkamah di Atyrau manakala pakar obstetrik ginekologi Askar Kairzhan dipenjara selama 16 tahun dan bidan, Jamilya Kulbatyrova dipenjara 15 tahun. Dua kakitangan hospital yang lain turut dihukum tiga tahun setengah kerana gagal melaporkan jenayah berkenaan.
Susulan daripada kes tersebut, wakil Menteri Kesihatan, Lyazzat Aktayeva telah meminta maaf kepada keluarga bayi berkenaan terutama kepada si ibu.
Sumber: Mirror