berita

Simbah Air Panas, Kurung Dalam Sangkar Kucing, Pasangan Dipenjara 27 Tahun Bunuh Anak

July 15th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Kes penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang berasal dari Singapura ini telah menggemparkan dunia pada suatu ketika dahulu. Lebih meruntun hati apabila penderaan tersebut dilakukan sendiri oleh ibu bapa kandung sehingga membuatkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Berikut kami kongsikan kronologi kes penderaan yang sangat kejam berlaku sekitar tahun 2016.

Mangsa dihantar kepada ibu angkat

Pada tahun 2011 iaitu selepas mangsa dilahirkan,  pasangan suami isteri Ridzuan Mega dan Azlin Arujunah telah menyerahkan anak kandungnya kepada ibu angkat iaitu Zufarina Abdul Hamid. Keputusan tersebut dibuat kerana pada ketika itu mereka tidak mempunyai pekerjaan selain menghadapi masalah kewangan.

Sepanjang bersama ibu angkat, mangsa dijaga dengan penuh kasih sayang tetapi layanan yang berbeza diterima apabila mangsa bersama ibu bapa kandungnya. Pada tahun 2015, pasangan suami isteri ini telah mengambil semula anak mereka daripada Zufarina.

Ibu bapa kandung mula mendera

Kes penderaan ini berlaku setahun selepas itu iaitu pada tahun 2016. Berdasarkan kronologi kes daripada pendakwa raya yang dipetik daripada Today Online, memaklumkan suspek, Ridzuan Mega yang merupakan bapa kandung mangsa telah menggunakan playar untuk mencubit bahagian punggung dan paha mangsa beberapa kali sehingga meninggalkan kesan lebam. Kejadian tersebut telah berlaku pada bulan Julai 2016.

Pada bulan Ogos 2016, ibu kandung iaitu Azlin Arujunah didakwa bertindak memukul badan dan kaki mangsa menggunakan penyapu kerana mangsa dikatakan telah menumpahkan biskut di lantai dapur rumah mereka. Susulan daripada kejadian itu, mangsa telah tempang dan tempurung lututnya tidak sejajar selain terdapat kesan parut di bahagian perutnya. Bukan itu sahaja, suspek juga didakwa telah menolak bahu mangsa sehingga menyebabkannya terjerumus dan kepalanya terhantuk di bucu tiang.

Disiram dengan air panas

Sekadar gambar hiasan

Pada akhir bulan Ogos sehingga awal September, Ridzuan Mega telah menekapkan sudu logam yang panas ke tapak tangan kerana mangsa telah ‘mencuri’ susu tepung untuk dimakan. Pada Oktober 2016, Ridzuan sekali lagi ‘menghukum’ mangsa dengan hukuman yang sama. Mangsa juga pernah dicucuh api rokok di bahagian lengan dan dipukul menggunakan penyangkut baju kerana mangsa tidak mengaku telah ‘mencuri’ susu tepung.

Sekitar 15 hingga 17 Oktober 2016, Azlin didakwa menarik pergelangan kaki mangsa supaya menghalangnya daripada melarikan diri sebelum menyiramnya menggunakan air panas. Lebih kejam apabila Azlin mencurahkan sebanyak 3 kali di bahagian kaki dan 5 kali di tangan sehingga menyebabkan kulit mangsa menggelupas.

Pada 17 hingga 20 Oktober, Azlin sekali lagi telah memercikkan air panas dan Ridzuan membaling beberapa cawan berisi air panas ke arah mangsa. Mangsa juga didakwa telah ditumbuk oleh bapanya itu.

Dimasukkan dalam sangkar

Pada 21 hingga 22 Oktober, pasangan ini dituduh telah mengurung anak lelakinya yang berketinggian 105cm ke dalam sangkar kucing berukuran 70cm (tinggi), 58cm (lebar) dan 90cm (panjang). Mangsa kemudian disiram dengan air panas di bahagian belakang dan betis hanya kerana enggan mandi.

Bukan itu sahaja, kepala mangsa turut dipukul menggunakan penyapu. Mangsa terus rebah dan tidak bergerak tetapi ibu bapa hanya membawanya ke hospital enam jam kemudian. Mangsa dilaporkan meninggal dunia sehari selepas kejadian iaitu pada 23 Oktober 2016. Pendakwa memaklumkan suhu air panas tersebut antara 86.5 ° C dan 98.7 ° C sehingga menyebabkan dua pertiga tubuhnya melecur. Penganalisis HSA Crystal Lau Liang Sung memberi keterangan bahawa calitan daripada sangkar tersebut mendedahkan terdapat kesan DNA mangsa.

Ibu bapa dijatuhi hukuman

Menerusi laporan yang dipetik daripada Mothership.sg, pada 13 Julai 2020 yang lalu, pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun dan 24 kali sebatan ke atas Ridzuan Mega Abdul Rahman. Manakala, isterinya iaitu Azlin Arujunah dikenakan hukuman penjara 27 tahun selain tambahan 12 bulan penjara. Hukuman tambahan itu dikenakan ke atas Azlin sebagai ganti hukuman sebatan yang tidak dilakukan ke atas wanita.

Sumber: Today Online, Mothership.sg

SKIP THIS AD ×