YA! Siapa kata kalau rajin simpan duit, kita tak boleh enjoy? Ternyata kalau kita tahu caranya, kedua-duanya boleh dikecapi. Duit kita dapat simpan, kehidupan pun tak membosankan!
Jadi apa yang perlu kita lakukan?
Rancang perbelanjaan yang kita tetapkan
Pertama sekali, kita perlu merancang perbelanjaan yang kita tetapkan. Contohnya, tetapkan berapa jumlah untuk disimpan dan untuk kita berbelanja!
Tips paling mudah, cuba simpan 10% daripada pendapatan korang terlebih dahulu, selebihnya baru gunakan untuk berbelanja atau sebelum shopping tu, buat senarai barang supaya tak terlebih membeli. Rancang dulu sebelum belanja, kan senang macam tu?
Tetapkan jumlah simpanan & target yang realistik
Kedua, boleh tak kita berbelanja sesuka hati untuk diri sendiri setiap bulan? Atau hanya pada bulan tertentu saja? Jawapannya, boleh!
Asalkan korang telah tetapkan jumlah simpanan dan tentukan target yang realistik. Ramai yang boleh buat bajet tapi tak ramai boleh ikut bajet. Jadi, selain jumlah yang realistik, disiplin diri juga penting apabila berbelanja.
Apabila korang ikut bajet yang telah ditetapkan pada setiap bulan, ianya membolehkan korang untuk terus enjoy, sama ada nak beli pakaian baharu, alat solek, modify kereta, hias rumah, memanjakan diri di spa, mendandan rambut di salon atau makan di restoran yang viral dan fancy.
Semua ni takda masalah, boleh je teruskan asalkan ia tidak melebihi jumlah yang telah korang tetapkan.
Berpada-pada apabila guna kad kredit & jangan buat pinjaman peribadi untuk perkara yang tak perlu
Perkara ketiga, berpada-pada dalam bersuka ria, elakkan daripada terperangkap dengan penggunaan kad kredit yang melampau dan membuat pinjaman peribadi untuk berbelanja berlebihan, seperti renovasi rumah, beli handbag branded dan sebagainya.
Lebih merisaukan, jika perbelanjaan korang telah melebihi pendapatan korang kerana ini akan membawa kepada banyak perkara negatif. Bak peribahasa, ukur baju di badan sendiri, korang boleh je cari jenama yang lebih mampu milik untuk barangan yang mempunyai nilai yang sama, kan lebih jimat.
Sebab itulah, korang kena berdisiplin dalam menggunakan kad kredit kerana jika salah penggunaannya ia ibarat kanser yang boleh memakan diri untuk jangka yang panjang. Jika korang boleh uruskan kad kredit dan pinjaman dengan baik, pastikan korang juga merancang dengan baik dan tidak terjebak dengan hutang keliling pinggang di kemudian hari.
Buat tabung simpanan bulanan untuk bercuti
Keempat, siapa kata tak boleh pergi bercuti kalau tengah berjimat cermat? Boleh!
Misalnya korang merancang ingin ke Kundasang, Sabah pada hujung tahun ini, buatlah persiapan awal dengan simpanan bulanan contohnya RM300 sebulan selama 6 bulan.
Ianya tidaklah susah, tapi korang perlulah nekad dan berdisiplin. Tambahan pula, ada banyak aplikasi yang membolehkan korang menyimpan dengan pelbagai jenis tabung. Tak salah jika sesekali berbelanja untuk kehendak.
Dengan menyimpan sebelum berbelanja, korang boleh mempunyai ketenangan minda bila bercuti. Tak perlu nak ikat perut pun!
Catatkan perbelanjaan setiap kali berbelanja
Kelima, catatkan perbelajaan setiap kali korang pulang dari berbelanja. Dengan adanya rekod duit keluar dan masuk, korang tahu dan sedar berapa duit yang telah dihabiskan dan berapa baki yang korang boleh belanjakan dalam bulan tersebut.
Contohnya, daripada rekod tersebut, ia menunjukan korang selalu berbelanja lebih untuk kopi, jadi apa kata anda buat sendiri dari rumah, ianya lebih menjimatkan dan gunakan lebihan itu untuk simpanan kecemasan dan sebagainya.
Untuk kurangkan pembelian secara impulsive pula, utamakan barang yang perlu, jadi tidaklah berlaku perbelanjaan yang berlebihan atau tidak terkawal.
Mudah saja kan?
Mula-mula mungkin korang akan rasa janggal untuk memulakan sesuatu yang berbeza. Tapi bila dah biasa menguruskan kewangan dengan baik, korang akan menjadi seorang yang berhemah berbelanja dan pada masa sama melalui kehidupan gembira serta cukup bermakna!
Nak hidup bahagia kenalah pasang strategi, kan? Semuanya tak mustahil jika kita menambah sedikit pengetahuan.
Jom dapatkan lebih maklumat & tips pengurusan kewangan dengan Kempen #SediaPayungKewangan!
Kalau korang nak tahu, PIDM kini sedang menganjurkan kempen #SediaPayungKewangan. Dapatkan lebih maklumat dan tips pengurusan kewangan untuk menjadi lebih berhemah dari segi kewangan.
Layari laman mikro #SediaPayungKewangan www.pidm.gov.my/SPK dan cuba Kalkulator SPK secara percuma untuk bantu korang mengira jumlah simpanan kecemasan yang diperlukan. Dengan pengetahuan ini mungkin sedikit sebanyak akan mengubah perspektif kewangan korang!