Nama penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri masih menjadi perbualan netizen setelah tampil melakukan aksi yang cemerlang ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini. Sering menguntum senyuman setelah beraksi, gadis berusia 22 tahun ini mengakui bahawa dia sudah mempunyai kekasih hati.
Single but not available
Menerusi satu temu ramah dengan stesen radio tempatan, penerjun yang berasal dari Kuala Lumpur ini menjawab pertanyaan sama ada senyuman yang sering diukirnya itu sudah dimiliki. Meskipun pada mulanya dia teragak-agak untuk menjawab soalan itu, Dhabitah akhirnya mengaku bahawa dia sudah mempunyai kekasih hati.
Okaylah saya cakap terus terang, single but not available (bujang tapi sudah berpunya).
Bercinta dengan pemain bola?
Memetik laporan Nona pada tahun lalu, Dhabitah dipercayai menjalin hubungan dengan pemain bola sepak Kuala Lumpur City FC iaitu Azhar Apandi. Dhabitah pernah memuat naik satu foto mereka bersama ketika majlis ulang tahun kelahirannya. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika mereka masih menjalin hubungan cinta atau sebaliknya sekarang ini.
Terdahulu, Dhabitah terlepas peluang meraih pingat gangsa pada temasya Olimpik keduanya apabila menduduki tangga keempat pada pertandingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita. Pada temasya Olimpik Rio 2016, Dhabitah berjaya menghuni tangga kelima acara 3m papan anjal seirama dan tangga kesembilan dalam acara 10m platform.
Sumber: Harian Metro