Demi menjaga pita suaranya, penyanyi dan pelakon Siti Nordiana terpaksa berpantang daripada mengambil minuman kegemarannya iaitu kopi sejak tahun lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Siti Nordiana & Tomok Kenang Zaman Kejatuhan – ‘Ada Yang Nasihat Tukar Imej, Pakai Seksi Kalau Nak Comeback Dalam Industri’
Artikel Berkaitan: Wajah Anak Saling Tak Tumpah Seperti Arwah Faizal Yusup, Netizen Usik Mahu Jadi Menantu Siti Nordiana – ‘Single Lagi Tak?
Nana ‘pantang’ kopi
Ketika ditemui OhBulan!, Siti Nordiana Alias, 40, atau lebih mesra dengan panggilan Nana mengakui meskipun berat untuk meninggalkan minum kegemarannya itu tetapi terpaksa akur demi kerjayanya sebagai penyanyi.
Menurut Nana, gangguan pita suaranya itu dipercayai berpunca daripada jangkitan Covid-19 ketika musim pandemik. Namun keadaannya bertambah pulih selepas mendapat rawatan daripada pakar.
Apabila menyertai GV10 keadaan menjadi semakin melarat selepas saya memaksa diri untuk meneruskan perjuangan hingga ke saat akhir.
Biarpun semakin baik, saya kena ‘berpantang’ kopi sejak setahun lalu bagi mengelakkan masalah lama berulang sedangkan sejak dulu memang tak boleh sehari pun tanpa kopi.
Memang susah sebab saya setiap pagi memang akan minum kopi. Tapi saya memang kena buat sesuatu sebab ini (nyanyian) mata pencarian saya. Jadi saya terpaksa korbankan keinginan saya untuk minum kopi.
Nana berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert Tomok & Siti Nordiana ‘Memori Mungkin Berulang’ bertempat di The Majapahit, Kuala Lumpur pada Rabu.
Nana hadiri kelas vokal, persediaan konsert
Sementara itu, pelantun lagu Kesalahan Terindah ini mendedahkan dia masih menghadiri kelas intensif di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat bagi memantapkan lagi vokalnya.
Tambah Nana lagi, usaha itu juga adalah salah satu persediaan untuk konsert ‘Memori Mungkin Berulang’ yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.
Sekadar info, Nana bakal bergandingan bersama penyanyi, Tomok menerusi konsert Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket menyaksikan konsert dijual pada harga RM98 sehingga RM498, selain VIP Box RM5,000 boleh ditempah di www.Ticket2u.com.my.