Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, akui ada memasang impian untuk kembali membuat persembahan di pentas ikonik Royal Albert Hall, London, England.
Artikel Berkaitan: Pendam Impian 9 Tahun, Siti Nurhaliza Syukur Satu Pentas Dengan David Foster
Artikel Berkaitan: Gandingan Siti Nurhaliza, Jay Jay & Ernie Zakri Dalam Konsert Satu Suara Vol.3 Sangat Mega, Tidak Terkalahkan!
Albert Hall, London
Ketika ditemui OhBulan!, Siti yang pernah mengadakan konsert Siti Nurhaliza Live In Royal Albert Hall pada April 2005 itu berkata, dia mahu terus memartabatkan muzik tempatan dan irama Malaysia di pentas antarabangsa sekaligus membanggakan tanah air.
Justeru, bagi pemilik nama lengkap, Siti Nurhaliza Taruddin, 44, Royal Albert Hall adalah lokasi yang diidamkan untuk dia merealisasikan impiannya.
Selama lebih 25 tahun saya dalam industri, saya sudah melalui banyak perkara, kemenangan, sejarah dan tidak kurang juga kenangan pahit dan manis. Jadi saya bersyukur dengan apa yang sudah lalui dan dengan apa sudah kecapi.
Tapi dalam masa sama, ini bukanlah waktu untuk saya berlumba-lumba lagi dengan anak-anak muda sekarang ini, yang juga artis-artis hebat. Sekarang adalah masa untuk saya memberikan dan mengekalkan persembahan dan lagu-lagu yang terbaik.
Dan muzik sudah sebati dalam diri saya, kalau saya tidak menyanyi pun saya akan terus sokong industri muzik tanah air. Sekarang ini, apa yang saya mahu lakukan adalah untuk terus memeriahkan industri dengan mengenang irama Malaysia.
Saya juga mempunyai cita-cita untuk mengadakan konsert berkonsepkan irama tradisional yang seterusnya dan juga nak bawa muzik Malaysia kembali ke Royal Albert Hall, dan pentas-pentas antarabangsa yang lain.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Konsert Hitman David Foster And Friends Asia 2023 yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Perancangan rapi
Melanjutkan bicara, pelantun lagu Purnama Merindu itu berkata sudah menjadi impian setiap penyanyi untuk melakukan persembahan di pentas ikonik berkenaan, termasuk juga dirinya.
Namun, ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan, dia tidak perlu tergopoh gapah, sebaliknya harus memastikan perancangan yang rapi jika ingin berbuat demikian.
Sekiranya ada rezeki, saya mahu ke sana lagi sebab dalam kerjaya saya walaupun saya sudah mempunyai perancangan dalam jangka tiga tahun ke hadapan, namun semuanya bergantung pada situasi, masa dan rezeki serta kemampuan.
Perancangan kena ada, tapi kita tak perlulah terkejar-kejar dengan semua benda. Sekurang-kurangnya apabila ada tawaran, kita sudah rancangan kita mahu buat. Itulah antara rancangan untuk kerjaya saya pada masa akan datang.
Selain itu, saya mahu lebih dekat dengan masyarakat, sebab itu sebelum ini saya banyak mengadakan konsert amal untuk mengumpul dana di bawah yayasan saya bersama suami iaitu Yayasan Nurjiwa.
Perkara seperti itu membuatkan saya lebih puas juga, kerana dapat memberi semula kepada peminat yang selama ini menyokong saya.
Sebelum ini, Siti pernah merancang untuk beraksi di kota London pada April 2018, bersempena konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour, bagaimanapun persembahan itu dibatalkan di atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Sementara itu, menerusi Konsert Hitman David Foster And Asia Friends 2023 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) itu, sebanyak 50 peratus hasil jualan tiket yang dijual akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar di Menara Gading yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40.
Selain berkolaborasi dengan komposer dan produser terkenal dari Kanada, David Foster, Siti juga bakal berkongsi pentas pada 7 Ogos depan bersama penyanyi, Micheal Bolton, Peabo Bryson, Katharine Hope McPhee dan Loren Allred.
Tiket telah pun mula dijual bermula dengan harga RM288, RM388, RM488, RM688, RM788 dan RM988 secara online di laman sesawang di www.myticket.asia.