‘Hebat, mega, luar biasa dan tidak terkalahkan’, itulah perkataan yang boleh digambarkan mengenai kejayaan Konsert Satu Suara Vol.3 yang berlangsung dengan meriah di Mega Star Arena, Plaza Sungei Wang pada Sabtu.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Ingin Lepaskan Rindu, Siti Nurhaliza Habiskan 10 Malam Terakhir Ramadan Di Makkah
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Munbe Vaa’ Versi Siti Nurhaliza Dapat ‘Standing Ovation’ 60,000 Penonton Konsert A.R Rahman
Konsert Satu Suara Vol.3 diterajui oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan turut menampilkan gandingan dua penyanyi dari era berbeza iaitu Jay Jay dan Ernie Zakri.
Tinggi kaliber ketiga-tiga penyanyi hebat itu terbukti jelas saat 4,000 penonton mengisi setiap lapongan kerusi yang ada sekali gus membuktikan Siti, Jay Jay dan Ernie adalah kesayangan ramai dan karya mereka masih didahagakan.
Membuka tirai Konsert Satu Suara Vol.3 dengan lagu Aku Penghiburmu nyanyian asal Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah, penonton terus dibawa ke zaman retro dan menari bersama lantas bersorak keterujaan.
Siti kemudian mengambil alih pentas seorang diri dengan melantunkan salah satu lagu rancak miliknya yang diambil daripada album Transkripsi berjudul Siti Situ Sana Sini. Tidak hanya menyanyi, Siti turut mempamerkan kelincahannya menari bersama penari iringan.
Saat berhenti seketika untuk mengambil nafas, anak kelahiran Pahang berusia 44 tahun itu sempat mengimbau semula beberapa peristiwa yang berlaku di lokasi konsert tersebut iaitu Plaza Sungei Wang.
Banyak kenangan di sini, saya pernah beli kasut dalam plaza ini untuk diguna buat show, satu kasut saya pakai sampai 10 show. Baju pun saya pernah beli di sini.
Saya juga pernah ujibakat untuk pertandingan Asia Bagus di sini, tetapi waktu itu saya tidak cukup bagus dan tidak berjaya terpilih.
Bertambah istimewa lagi, Siti turut menyampaikan sebuah lagu baharu berjudul Sehebat Matahari buat pertama kali di hadapan umum pada malam yang indah itu.
Difahamkan, lagu yang ditulis oleh Rozie Sang Dewi dan komposernya Aubrey itu bakal dimuatkan dalam album terbaharunya yang bakal diluncurkan pada tahun ini.
Selain itu, lagu-lagu balada ‘berhantu’ yang sering menjadi pujaan peminat seperti Kesilapanmu Keegoaanku turut dinyanyikan pada malam berkenaan.
Konsert yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu, trio, duo dan solo tidak sekali membuatkan penonton jemu apabila masing-masing memberikan segala ‘power’ yang mereka ada. Malah, pentas konsert harus diberi kredit kerana pengcahayaan yang digunapakai berkelas antarabangsa.
Keterujaan penonton tidak berhenti apabila penyanyi popular era 70-an, Jay Jay mula mengambil pentas dengan manyampaikan untaian lagu-lagu hits miliknya seperti, Rindu Bayangan, Cukuplah Sekali, Dendangan Lagu dan banyak lagi.
Kerinduan penonton seakan terlunas apabila mereka turut ‘sing along’ bersama-sama saat Jay Jay menyampaikan lagu tersebut di atas pentas sambil memetik gitar.
Kehebatan penyanyi bervokal lantang, Ernie Zakri tidak disangkal lagi. Lirik pertama yang keluar daripada mulut penyanyi berusia 30 tahun itu terus membuat seluruh dewan bersorak dan bertepuk gemuruh.
Menyampaikan dua buah lagu hits miliknya secara medley berjudul Ku Bersuara dan Astana, Ernie berjaya membuat penonton tidak berkelip mata seakan terpukau dengan kelunakan suaranya. Selain itu, Ernie turut menyanyikan lagu Boneka dan Korban.
Sepanjang persembahan, selain vokal hebat oleh tiga penyanyi itu, keletah mereka di atas pentas turut mencuit hati penonton. Lebih-lebih lagi, ramai yang terhibur dengan lawak spontan oleh Jay Jay.
Suasana konsert terus digamatkan dengan persembahan duo antara Siti dan Ernie menerusi lagu Wajah Kekasih dan Gundah yang telah digarapkan semula oleh pengarah muzik, Datuk Aubrey Suwito.
Tidak salah jika dianggap persembahan duo Siti dan Ernie itu merupakan persembahan paling menyengat dan pastinya terpahat dalam ingatan setiap penonton.
Turut memeriahkan konsert dengan kehadiran rakan selebriti seperti Datuk Ifa Raziah, Rozita Che Wan, Izara Aishah, Datuk Sri Aliff Shukri dan ramai lagi.
Geliganya ketiga-tiga penyanyi itu nenambat hati penonton apabila pada penutup konsert mereka mengajak seisi dewan untuk berdiri dan berjoget menerusi lagu Hari Raya Bahagia, Nazam Lebaran dan Cindai.
Tiga jam menikmati Konsert Satu Suara Vol.3 seperti tidak puas. Bak kata Siti ketika sidang media usai persembahanya, banyak lagu yang ingin dinyanyikan pada malam tersebut, namun keadilan harus diberikan. Bagaimanapun, Siti bersyukur dengan kejayaan edisi kali ini.
Alhamdulillah, apa yang saya rancang untuk konsert Satu Suara kali ini diterjemahkan dengan baik.
Bukan saja Ernie dan Jay Jay tetapi Aubrey Suwito selaku pengarah muzik. Lebih penting saya anak pengisian utama untuk konsert ini yang orang perlu tahu adalah untuk mengutip dana Yayasan Nur Jiwa.
Konsert Satu Suara Vol.3 dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Production (M) Sdn.Bhd (NSP) bagi mengumpul dana untuk Yayasan Nurjiwa yang dimiliki oleh penyanyi itu bersama suami, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa.