Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengimbau kembali momen di mana terdapat segelintir peminat berhenti menyokongnya susulan dia mengumumkan mahu mendirikan rumah tangga, pada 18 tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Lelaki Dedah Siti Nurhaliza Ada Bersama Yasmin Ahmad Ketika Diserang Angin Ahmar 15 Tahun Lalu – ‘Dia Beri Bantuan Pernafasan Pada Yasmin’
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Gayakan Beg Hantaran Di Majlis ‘Anniversary’ Ke-18, Peminat Siasat Rupanya Edisi Terhad Jenama Mewah
‘Reda peminat lari’
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, memberitahu, dia menyaksikan peminatnya terbahagi kepada dua kumpulan yang mana satu menyokong keputusan dia berkahwin dengan Datuk Seri Khalid dan satu lagi kumpulan menyatakan bantahan.
Siti yang ketika itu berusia 27 tahun berkata, dia reda sekiranya peminatnya semakin berkurang.
Semasa saya berkahwin, apa yang saya lihat peminat berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan peminat yang sokong saya berkahwin dan satu lagi tidak menyokong saya mendirikan rumah tangga.
Ketika saya umum mahu kahwin, saya sudah ditahap reda jika ada dalam kalangan peminat yang lari (tidak lagi menyokong), memang tahap pasrah dah. Dalam hati saya cakap begitu.
Sebab perkahwinan saya ini, saya lihat ada yang suka dan ada yang tidak suka. Ada yang cakap mereka sedih dengan keputusan saya.
Siti berkongsi mengenai perkara itu menerusi saluran podcast ABPBH 36 di saluran YouTube Berita Harian Online.
Ada yang mempersoalkan
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Purnama Merindu ini mendedahkan, terdapat peminat yang mempersoalkan keputusannya mendirikan rumah tangga dengan lelaki berstatus duda.
Siti bagaimanapun bersyukur bahtera perkahwinan sepanjang 18 tahun yang dibina dipermudahkan dan dilalui dengan penuh kesabaran.
Cumanya ketika itu tiada lagi media sosial yang seperti sekarang, kalau tidak tak tahu la apa netizen akan cakap. Antara komen yang saya ingat, peminat mempersoalkan kenapa saya kahwin dengan duda, bukan dengan bujang.
Tetapi, itulah yang perlu saya lalui. Alhamdulillah, Allah aturkan perjalanan yang sangat baik. Tidak seperti yang orang-orang sangkakan. Saya percaya kepada rezeki dan perancangan Allah, lalui penuh kesabaran.
Imbas kembali, Siti dan Datuk Seri Khalid atau mesra disapa Datuk K mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 6, dan Muhammad Afwa, 4.
Sumber: YouTube