Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah membuka sebuah sekolah untuk kanak-kanak di Gaza, Palestin yang diberi nama Afwa & Aafiyah sejak 5 Oktober 2021.
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Belum Pasang ‘Bodyguard’ Untuk Anak-Anak
Bekalan akhirat saya
Bersyukur akhirnya tercapai hasrat, Siti, 43, menyatakan sekolah yang ditubuhkan menerusi Yayasan Nurjiwa bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu diuruskan oleh wakil khas Gaza.
Sekolah yang ditubuhkan hampir setahun itu sudah mempunyai 50 pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak seawal umur empat tahun.
Alhamdulillah, setiap bulan saya dan suami secara peribadi serta Yayasan Nurjiwa membuat sumbangan untuk keperluan sekolah itu. Kita nak berterusan dan semuanya daripada kami.
Kalau ada rezeki lebih, contoh setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan, agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang sudah ada hampir 50 pelajar.
Buat masa sekarang, sekolah itu diuruskan oleh sahabat baik kami di sana. Dia akan mengemaskini apa saja aktiviti pelajar di sana, seperti pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan, malah ketika hari jadi saya dan kedua-dua anak, mereka mengadakan doa selamat di sana.
Tambah pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin, dia memperuntukan RM10,000 sebulan untuk kegunaan sekolah, tenaga pengajar, pelajar termasuk kemudahan makanan.
Setakat ini kami menyewa tempat dulu termasuk tenaga pengajar pun kita yang bayar. Setiap bulan memang diperuntukkan RM10,000, kadang lebih dari itu, sebab ada nak beli buku dan sebagainya. Tapi amaun itu memang tetap.
Siti ditemui ketika majlis Sidang Media Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang diadakan di Heritage Club @ Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Berhibur sambil beramal
Bercerita mengenai persembahan selama dua jam, Siti berkata ini bukan sahaja bertujuan untuk berhibur tetapi dia juga mengajak peminat bersama-sama berbuat kebaikan.
Kata pelantun lagu Anta Permana, dia mensasarkan sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam iaitu pada 5 dan 6 November dan dana akan disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa.
Sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam (5 dan 6 November), semua untuk Yayasan Nurjiwa. Tapi kalau orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tak ada masalah, kita terbuka. Sebab sekarang pun kita masih kutip dana di bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan Covid-19 dengan kerjasama Kita Fund.
Dana daripada yayasan ini bukan khusus untuk sekolah Afwa & Aafiyah saja, tapi kita bantu juga rakyat Malaysia, mana yang terkesan dengan banjir, Covid-19 dan yang nak membina masjid.
Kutipan dana ni pun bukan pertama kali, sebelum ini saya sudah dua tiga kali mengadakan persembahan sebegini. Selain itu masyarakat juga ada menyumbang menerusi tabung yang dilancarkan.
Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza juga memilih Datuk Awie sebagai artis undangan dan Siti merupakan peminat kumpulan Wings.
Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang akan diiringi oleh pemuzik profesional, Aubrey Suwito membariskan lebih 20 buah lagu di Dewan Plenary KLCC bermula pukul 8.45 malam.
Tiket-tiket berharga RM188, RM288, RM588, RM788, RM988 dan RM1,188 mula dijual pada Selasa di www.myticket.asia atau menerusi hotline +603-86050196.