Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila dianugerahkan gelaran Biduanita Negara.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Siti Nurhaliza Teruja Tonton Filem Biografi Rossa, Bagi ‘Hint’ Bakal Buat Kejutan Sempena 30 Tahun Dalam Industri Seni
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Syukur Tersenarai Dalam Top 500 Muslim Paling Berpengaruh Dunia Untuk 10 Tahun Berturut – ‘Satu Penghargaan Atas Usaha Untuk Agama’
Bersyukur
Siti atau nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 45, menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas penganugerahan tersebut.
Katanya, anugerah itu merupakan satu tanggungjawab untuknya terus mempertabatkan muzik dan budaya tanah air.
Dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
Dari tidak yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.
Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
Beri manfaat
Dalam pada itu, Siti bersyukur dengan bakat yang dimiliki dapat memberi manfaat kepada masyarakat dalam menyebarkan hal positif dan inspirasi.
Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik. Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.
Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara.
Di sebalik kejayaan penuh bermakna itu, Siti turut mengimbau kembali kata-kata arwah ayah tercinta iaitu Tarudin Ismail yang mengibaratkan dirinya seperti bunga melur.
Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
“Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana… Walau kering tak bercahaya bunga melur… Baumu memikat jiwa…”
Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini.
Pihak terlibat
Selain itu, pelantun lagu Purnama Merindu ini turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kerjaya seninya sejak awal pembabitan sebagai penyanyi.
Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini.
Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongan kepada karier saya selama ini.
Tidak dilupa buat peminat-peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang telah mendukung kerjaya saya selama ini. Tanpa penglibatan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi.
Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.