Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila namanya tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims bagi edisi 2025.
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Imbau Momen Peminat Berpecah Ketika Umum Mahu Berkahwin – ‘Satu Kumpulan Sokong Satu Lagi Tidak, Saya Reda’
Artikel Berkaitan: Asyraf Khalid Bidas Netizen ‘Perli’ Siti Nurhaliza Tak Ada Job Kerana Selalu Buat Live – ‘Tahun Ni Ja Berapa Banyak Konsert’
Muslim berpengaruh dunia
Siti atau nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 45, menganggap pengiktirafan itu diberikan selari dengan usahanya bersama suami, Datuk Seri Khalid Jiwa menerusi Yayasan Nurjiwa membantu rakyat Palestin.
Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan terharu untuk tersenarai dalam Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia. Itu satu penghargaan atas apa yang saya lakukan untuk agama juga.
Walaupun kategori itu untuk anak seni tapi itu juga bersangkut paut dengan Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami teah usahakan sehabis baik untuk mereka di Gaza, Palestin.
Rakyat Malaysia juga yang terkesan dengan bencana alam. Saya lebih memikirkan ke arah itu.
Siti berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di ibu kota, pada Khamis.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Purnama Merindu itu berharap pengiktirafan tersebut akan terus mendorongnya untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di bumi Gaza.
Saya ada tanggungjawab di Palestin, saya masih ada anak angkat di sana. Malah, pasukan yayasan kami juga ada di sana untuk agihkan bantuan.
Saya selalu berdoa pasukan saya terselamat dari apa-apa yang berlaku di sana supaya kami dapat terus menyalurkan bantuan kepada mereka.
Untuk rekod, ini adalah tahun ke-10 berturut-turut Siti tersenarai sebagai Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.
Berdasarkan catatan buku yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan, Siti turut tersenarai bersama individu berpengaruh seluruh dunia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain Siti, penyanyi, Hafiz Hamidun turut tersenarai dalam pengiktirafan tersebut bagi kategori yang sama mewakili negara.