Umum mengetahui, penyanyi nombor satu negara iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza bakal mengadakan sebuah konsert ‘Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza’ pada bulan November nanti. Konsert tersebut merupakan konsert amal dan dana yang diraih bakal disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa milik Tokti dan suami.
Berikutan daripada itu, tiket konsert Tokti sudah mula dijual secara online. Rata-rata peminat, keluarga, sahabat dan rakan artis teruja dengan pengumuman yang dilakukan. Difahamkan, hampir separuh tiket sudah habis dijual untuk kedua-dua hari konsert tersebut.
Tersalah beli tiket
Di Instagram, usahawan dan sahabat baik Tokti iaitu Nabilah Nazib merupakan salah seorang yang teruja untuk hadir ke konsert tersebut. Lebih mencuri tumpuan, tiket yang dibeli oleh Nabilah itu salah dan tidak sama seperti yang dimahukan oleh dirinya. Ujar Nabilah, dia mahu tiket kategori ‘meet and greet’ dengan Tokti. Namun begitu, dia tersalah beli kategori ‘Platinum’ semasa melakukan pembayaran secara online.
Perkongsian tersebut ternyata mencuri perhatian Tokti dan warganet. Jelas Nabilah lagi, impiannya untuk mendapatkan tiket paling mahal itu berhasil selepas itu. Dia membeli empat tiket sekali lagi demi melihat konsert sahabatnya. Nabilah turut menyatakan bahawa dia telah berbelanja hampir RM10 ribu untuk konsert yang bakal dijayakan itu.
Terima kasih!
Terharu melihat posting Nabilah, Tokti meluahkan rasa terharu apabila mempunyai sahabat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya setiap kali mengadakan konsert. Ujar Tokti, semoga setiap wang yang keluar oleh Nabilah untuk membantu golongan yang memerlukan itu akan diberkati Allah.
Sumber: Dato’ Sri Siti Nurhaliza