berita

Sivagangga & Satok Dikenal Pasti Kluster Terbaru Kes Covid-19

July 28th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat enam kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 8,607 kes. Namun begitu, terdapat dua kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini.

Kluster Sivagangga dan Satok

Sekadar gambar hiasan

Kluster PUI Sivagangga, India merupakan kes yang melibatkan seorang pemastautin tetap yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 13 Julai 2020 (iaitu kes ke-8937). Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) namun, didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan di dalam tindakan pihak berkuasa.

Saringan ulangan didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 28 Julai 2020, 28 kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah tersebut lima dikesan positif COVID-19 dan 23 negatif.

Kes indeks merupakan seorang pemilik kedai makan. Empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja  kedai tersebut yang merupakan bukan warganegara manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks. Kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks. Premis yang dikenalpasti ini telah ditutup bagi proses pembersihan dan nyah kuman.

Dikesan di sebuah pasar

Kluster kedua iaitu kluster satok ini dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching, di mana saringan COVID-19 telah dijalankan di pasar tersebut. Sehingga 28 Julai 2020 sebanyak 229 orang peniaga telah disaring. Daripada jumlah tersebut empat dikesan positif COVID-19 manakala, 225 lagi negatif.

Kesemua kes positif adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×