Penyanyi rap terkenal, Altimet memaklumkan dia dan seorang rakannya akan meronda sekitar kawasan Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa, Lembah Keramat dan Gombak bagi tujuan menghulurkan bantuan barangan dapur buat mereka yang mengibarkan bendera putih hari ini.
Kami ronda pukul 2 hingga 6 petang
Kami akan tinggalkan barangan dapur di pagar atau di pintu depan rumah, untuk yang memerlukan. Tidak perlu malu, kami tak mahu mengambil gambar dengan sesiapa. Kami pun tak mahu orang ambil gambar kami dan muat naik. Kamu jiran-jiran kami, celakalah kalau tak tolong jiran sendiri.
InsyaAllah hajat kami meronda setiap Jumaat sehingga tiada satu pun bendera putih berkibaran. Untuk jiran-jiran lain yang ingin membantu, boleh mohon salurkan dana.
Di Instagram, Altimet memberitahu akan membuat rondaan bersama rakannya pada pukul 2 hingga 6 petang ini bagi mencari individu yang memerlukan bantuan. Tambah Altimet, mereka akan meninggalkan kesemua barangan keperluan tersebut di hadapan rumah golongan yang memerlukan. Mereka juga akan terus beredar dari kawasan tersebut sebaik sahaja misi menghulurkan bantuan itu selesai.
Ujar Altimet lagi, dia melarang mana-mana individu untuk merakam video mahupun mengambil gambar bersamanya semasa bantuan tersebut dihulurkan. Di samping itu, pelantun suara ‘Amboi’ ini turut memberi pesanan agar individu yang menerima bantuan tidak perlu bertegur sapa dan bersalaman dengan dirinya semasa rondaan sedang dilakukan.
Memberi dengan penuh adab
Rata-rata netizen memberi pujian buat Altimet kerana menghulurkan bantuan dengan penuh adab dan menjaga air muka penerima sumbangan. Ujar netizen, cara Altimet membantu golongan yang memerlukan ini wajar dicontohi oleh golongan selebriti yang lain. Netizen turut berdoa agar urusan Altimet dan rakannya itu dipermudahkan dan mereka sentiasa dilimpahkan rezeki oleh Allah.
Sumber: Altimet