Di Indonesia, seorang ibu tergamak membunuh bayi yang baru dilahirkan dengan menanamnya hidup-hidup. Lebih mengejutkan apabila mengetahui bayi tersebut adalah hasil daripada hubungan terlarang wanita berkenaan.
Tanam bayi hidup-hidup
Menerusi laporan yang dipetik daripada Regional Kompas, wanita yang berusia 36 tahun itu tergamak berbuat demikian kerana takut rahsia hubungan terlarangnya itu terbongkar. Difahamkan, wanita sudah pun berkahwin tetapi suaminya itu masih menjalani hukuman penjara di Acheh Tenggara. Oleh hal yang demikian, dia nekad menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga telah melahirkan seorang bayi lelaki.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Aceh Tengah, Agus Riwayanto Diputra memaklumkan wanita itu kemudian membawa bayi tersebut pulang ke rumahnya dan kewujudan bayi itu disedari oleh anak kandungnya. Dia yang pelik dengan situasi itu bertanya kepada si ibu mengenai bayi berkenaan. Dengan perasaan yang panik, wanita terbabit memberitahu bayi lelaki itu adalah adiknya. Anak kandungnya kemudian mengugut untuk melaporkan kepada pihak polis.
Suspek melahirkan anak seorang diri tanpa bantuan bidan sebelum membersihkannya menggunakan kain batik dan membedung dengan kain panjang dalam keadaan tali pusatnya belum dipotong.
Bayi meninggal dunia
Disebabkan itu, dia membuat keputusan untuk menanam bayi lelaki itu hidup-hidup. Menurut sumber, teman lelaki wanita itu juga tidak mahu bertanggungjawab atas kehamilan tersebut.
Suspek kemudian mengambil cangkul yang ada di kerusi dan menggali lubang untuk menanam anaknya. Selepas itu suspek membawa bayi itu ke belakang rumah, membuka kain pelindung dan mengebumikan bayi itu ketika dia masih menangis.
Selepas melakukan perbuatan kejam itu, dia dengan tanpa rasa serba salah telah pulang ke rumah dan tidur. Namun, tidak lama kemudian, jiran tetangga datang ke rumah wanita itu selepas menerima laporan daripada anak kandungnya sendiri. Walaupun sudah bertanya berkali-kali mengenai kewujudan bayi itu tetapi wanita terbabit langsung tidak mengaku.
Tetapi jiran tetangga tidak mempercayai kata-kata wanita terbabit dan mereka telah pergi ke belakang rumah sebelum terlihat satu lubang yang seakan baru sahaja ditanam. Mereka menggali lubang tersebut dan alangkah terkejutnya apabila melihat seorang bayi kecil yang masih bertali pusat telah ditanam hidup-hidup. Bayi yang masih bernyawa itu diselamatkan oleh jiran tetangga namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Sumber: Regional Kompas