Suami kepada wartawan hiburan Fiza Kamaruddin iaitu Roshdi Ramli meluahkan rasa syukur apabila dapat menunaikan hajat terakhir Allayarham untuk bercuti bersama keluarga di London.
Artikel Berkaitan: Wartawan Hiburan, Fiza Kamarudin Selamat Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah
Hajat arwah
Ketika ditemui OhBulan!, Roshdi atau mesra dipanggil Dodi berkata, dia akan berasa terkilan seandainya hajat tersebut tidak dapat ditunaikan.
Malah, sepanjang percutian mereka, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda ingin ‘pergi’.
Sepanjang percutian arwah memang tidak menunjukkan petanda cuma ketika kami di Malaysia dia teringin untuk ke London.
Dia memberitahu kalau bukan sekarang, tak tahu bila mereka sekeluarga dapat bercuti bersama.
Alhamdulillah saya dapat tunaikan hasratnya dan meluangkan masa melihat kota London.
Dapat juga dia dapat hirup udara dan lihat menara di sana.
Roshdi berkata demikian ketika ditemui usai urusan pengebumian Allahyarham Fiza di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Jalan Karak-KL, pada Sabtu.
Sementara itu, berkongsi detik terakhir bersama arwah, Roshdi berkata dia dan dua orang anaknya iaitu Riyadh Haziq dan Raisya Hannah tidak sempat berada di sisi arwah saat ajalnya tiba.
Saya dan anak tidak sempat berada di sisi semasa arwah sedang nazak. Kami hanya tinggalkannya 10 minit untuk makan. Kemudian kami datang semula, dia sudah tiada.
Arwah seolah-olah tidak mahu kami melihat dia ‘pergi’. Mungkin dia tak mahu kami bersedih.
Berkongsi mengenai reaksi anak-anak, Roshdi berkata mereka reda dengan takdir Allah.
Mula-mula, memang agak sedih. Tetapi lama-kelamaan saya cuba tenangkan.
Selepas saya tenangkan mereka, barulah mereka faham dan reda pemergian ibunya.
Saya kena tunjuk kuat di depan mereka , kalau tidak mereka akan sedih.
Pekerja komited
Dalam pada itu, majikan yang juga pemilik portal Boom dan Jurnal Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar dalam syarikat.
Malah, Norman memaklumkan Allahyarham adalah pekerja yang begitu berdedikasi menjalankan tugas sebagai pengarang berita.
Arwah bersama kami lebih kurang setahun sejak Disember 2022. Dia sangat komited dengan kerja walaupun sedang bercuti di London, dia tetap memeriksa artikel.
Kehilangan arwah sangat besar untuk kami kerana dia sentiasa inginkan yang terbaik untuk memajukan portal kami.
Terdahulu, jenazah selamat disolatkan di Masjid Jamek Kg Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Jalan Karak-KL pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Sebelum ini, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana akibat pendarahan otak.
Fiza, 40, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.
Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.