Youtuber terkenal, Sugu Pavithra memberitahu umum bahawa suaminya sudah berhenti kerja sebagai seorang peladang pada minggu lalu. Ini kerana, mereka hendak memberi tumpuan sepenuhnya kepada Youtube memandangkan pendapatan bulan ketiga mereka agak baik.
Masih berjinak-jinak
Menurut Pavithra, dia sudah menerima pendapatan bulan ketiga daripada YouTube dengan jumlah agak lumayan. Tambahnya, suaminya telah berhenti kerja dan akan terus menghasilkan lebih banyak video masakan menarik selain mencari idea baru untuk dikongsikan kepada para pengikut. Pasangan ini juga mempunyai hasrat untuk memiliki sebuah rumah suatu hari nanti.
Sekarang suami tidak bekerja dan apa yang berlaku tidak dijangka (mempunyai ramai pengikut), pendapatan pun ok, maka kami nak fokus sebagai pengguna YouTube.
Sementara itu, suami Pavithra iaitu Sugu memberitahu dia memilih untuk berhenti kerja atas dasar tanggungjawab kerana tidak mahu kerja hakikinya sebagai peladang terganggu disebabkan memberi tumpuan kepada YouTube.
Sebelum ini kerap ambil cuti sebab bila ramai datang rumah saya kena tolong isteri jaga anak yang masih kecil. Jadi sekarang kami mahu fokus buat video menarik supaya dapat tingkatkan lagi pelanggan dan dapat gaji lebih.
Berhenti atas dasar tanggungjawab
Di samping itu, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan seluruh negara memberi pujian dan melabelkan mereka sebagai duta perpaduan, malah tidak kurang juga menyifatkan suami isteri itu wajar dijadikan ikon masyarakat. Namun begitu, Pavithra memberitahu bahawa dia dan suami masih berjinak-jinak sebagai pengguna YouTube dan belum layak untuk diangkat sebagai duta perpaduan atau ikon tertentu termasuk masakan. Malah, mereka bukanlah pasangan yang sempurna dan masih ‘mentah’ di Youtube.
Kami hanya rakyat biasa sahaja, nak jadikan ikon itu sesuatu benda yang besar bagi kami, sesuaikah untuk kami? Kami belum layak kerana untuk jadi ikon kena sempurna, tiada yang sempurna dekat kami.
Setakat hari ini akaun Youtube Sugu Pavithra sudah mempunyai 644,000 pengikut. Mereka mula mencuri tumpuan masyarakat sejak awal Januari lalu apabila mereka sering memuat naik pelbagai video masakan termasuk beberapa tips mencuci peralatan memasak dan video berterima kasih kepada masyarakat yang memberikan hadiah buat mereka sekeluarga.
Sumber: Bernama