Pelakon jelita Julia Ziegler menafikan dakwaan netizen berhubung dirinya sudah meninggalkan industri seni tanah air.
Artikel Berkaitan: Video: 55 Soalan Moroe Kepada Julia Ziegler
Minat bidang lakonan
Menurut Julia, dia sangat meminati bidang lakonan dan belum berfikir untuk meninggalkan bidang tersebut.
Meskipun sudah lama tidak diundang ke acara hiburan dan berasa seolah-olah sudah dipinggirkan dari industri seni, Julia mengakui bahawa sudah lima tahun dia tidak berlakon.
Saya masih meminati bidang lakonan dan belum meninggalkan bidang seni walaupun sudah lima tahun tidak berlakon. Rindu, siapa yang tidak rindu? Di rumah hanya hadap kuali dan dapur sahaja.
Kali terakhir, saya berlakon ialah watak cameo pada tahun lalu. Ia hanya membabitkan dua tiga babak sahaja dan penggambaran dilakukan pada hujung minggu.
Disoal mengenai aktiviti yang dilakukan sekiranya tidak diberi tawaran berlakon, pelakon ‘Jangan Tegur’ ini berkata, dia sedang memberikan tumpuan pada anak-anak selepas berumah tangga.
Masa aktif berlakon dulu, saya tidak berhenti dari penggambaran drama dan filem.
Selepas selesai penggambaran di Kedah boleh sambung ke Johor pada keesokan harinya tanpa sebarang masalah.
Namun, kini, saya terpaksa memberi keutamaan kepada dua anak yang masih kecil berusia 4 dan 5 tahun di rumah kerana ketiadaan pengasuh.
Diusik mengenai watak yang diidamkan sekiranya diberi tawaran pada masa akan datang, Julia secara ringkas menjawab, dia tiada masalah jika ditawarkan watak emak sekalipun.
Saya pernah bawa watak ibu kepada pelakon Raja Farah sebelum ini. Saya juga sudah melakonkan bermacam watak termasuk penyondol pada zaman muda dulu.
Jadi, saya harap ada penerbit dan pengarah yang sudi tawarkan saya berlakon selepas ini.
Sekadar info, Julia Ziegler mendirikan rumah tangga dengan jurutera mekanikal berdarah Melayu-Jerman dikenali sebagai Johan pada 1 Januari 2017. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang zuriat.