Penyanyi Sufian Suhaimi mengaku ada membaca komen netizen yang mengaitkan perniagaan bantal zikir yang diusahakan dengan penampilan teman wanitanya yang tidak mengenakan tudung.
Artikel Berkaitan: ‘Kemeriahan Raya Masa Arwah Ada Berbeza, Tapi Keluarga Kami Masih Rapat ’ – Sufian Suhaimi
Artikel Berkaitan: ‘Saya Bagi Tahu Mengenai ‘Crush’. Kemudian Lofa Mengusik’ – Sufian Suhaimi
Berniaga untuk berdakwah
Ketika ditemui OhBulan!, Sufian berkata dia tidak menafikan mengenai perkara itu, namun percaya kepada niatnya yang menjalankan perniagaan kerana mahu menyampaikan dakwah kepada orang ramai.
Bagaimanapun, jelas Sufian dia mengambil segala komen dan teguran netizen untuk memperbaiki dirinya.
Apa yang saya buat daripada segi perniagaan itu saya cuma mahu berkongsi kebaikan melalui zikir dan selawat. Itu perjuangan saya untuk berdakwah dan dalam masa sama mencuba sesuatu yang baru.
Saya tahu ada orang yang kaitkan perniagaan dan penampilan dia (kekasih). Netizen kaitkan penampilan pasangan saya dengan perniagaan itu memang ada benarnya. Saya ambil maklum dan reflect dengan komen yang diberi.
Saya terima nasihat dan teguran orang ramai yang ada betul dan adakala kurang tepat. Yang betul saya ambil yang tidak betul saya tolak.
Sufian berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Menggenggam Bahagia yang diadakan di sekitar ibu kota pada Rabu.
Melanjutkan bicara, Sufian berkata sudah menjadi asam garam bergelar selebriti untuk menerima segala kritikan netizen.
Saya sentiasa mengharapkan yang terbaik. Supaya dapat menggenggam bahagia dan baik-baik sahaja. Itulah kehidupan sebagai selebriti, segalanya boleh jadi asbab kebaikan untuk saya, saya okay sahaja.
Menggenggam Bahagia merupakan hasil ciptaan gabungan tiga komposer terkenal iaitu Sirkhan, Ibnu Rinkarnaen dan Sang Hitam.
Ini merupakan buah tangan terbaharu Sufian kepada peminat selepas sekian lama tidak melancarkan lagu berentak power ballad.
Peminat boleh mula mendengar lagu Menggenggam Bahagia di seluruh platform penstriman digital dan muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi RUSA Music.