Semalam, OhBulan! melaporkan penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang ditidurkan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di Johor Bahru, Johor akibat masalah kesihatan.
Artikel Berkaitan: Suhaimi Saad Ditidurkan Di ICU – ‘Muntah Setiap Kali Makan Sehingga Susut Berat Badan’
Organ dalaman tak berfungsi dengan baik
Terbaharu, Harian Metro melaporkan Suhaimi terpaksa ditidurkan selepas organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik.
Susulan itu, bekas anggota kumpulan In-Team itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
Suhaimi dikatakan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman dan kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya.
Difahamkan dia mengalami batuk kronik sejak empat bulan lalu, cirit-birit selama tiga bulan dan berat badannya turun mendadak.
Terdahulu, ketua kumpulan In-Team iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid mengesahkan mengenai kesihatan Suhaimi yang merudum dan kini ditidurkan.
Difahamkan Suhaimi sudah pun berada di hospital sejak Jumaat lalu.
Tambah Mohd Syahril lagi, dia difahamkan Suhaimi kini sudah beberapa bulan kurang sihat dan mengalami gejala muntah setiap kali makan sehinggakan berlaku susut berat badan.
Dalam pada itu, Mohd Syahril memaklumkan bahawa isteri kepada Suhaimi iaitu Ina Naim tidak mahu diganggu kerana mahu memberikan sepenuh perhatian menjaga suaminya yang sedang sakit.
Sumber: Harian Metro