Sudah hampir lima bulan hidup tanpa isteri tercinta di sisi, Shuib mengaku bahawa hatinya masih kosong dan belum ada wanita yang berjaya mencuri tempat arwah Siti Sarah. Tambahnya, masih terlalu awal untuk berbicara soal jodoh. Bagaimanapun, dia bersikap terbuka tentang perancangan Allah buatnya pada masa hadapan.
Lebih fikir anak-anak
Soal jodoh dan ajal, Allah yang tentukan. Jika saya kata, janganlah ambil Sarah cepat sangat, tetapi Allah tetap ambil jua. Begitulah juga dengan kehidupan saya pada masa depan. Saya tidak berani untuk cakap lebih-lebih mengenai soal jodoh. Jika esok lusa saya jatuh cinta dengan orang lain, jadi saya serahkan semuanya pada Allah. Saya pun sudah matang, andai berkahwin lagi pasti sudah tahu apa yang diinginkan dalam sebuah perkahwinan.
Sebagai manusia biasa, Shuib mengaku setiap individu ingin berkasih sayang dan mahu ada yang menemani. Namun, dia lebih memikirkan soal anak-anak pada masa ini. Andai dirinya berkahwin semula, sebab utamanya adalah demi anak-anak ujar Shuib. Tambah Shuib, anak-anaknya masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ibu. Terutamanya Talita yang banyak berdiam berbanding dahulu. Sebelum ini, Talita selalu berkongsi cerita, pakaian dan alat solek bersama arwah ibunya.
Walaupun Shuib sudah cuba yang terbaik, pasti ada ruang-ruang kosong yang tidak mampu dirinya isi. Ini kerana, dia seorang lelaki. Oleh itu, Shuib menyerahkan soal jodoh dan segalanya kepada Allah.
Suka wanita manja dan pandai menyanyi
Disoal mengenai ciri-ciri wanita idaman, Shuib memberitahu dia suka wanita yang manja dan pandai menyanyi. Terdahulu, ibu kepada Shuib meletakkan syarat kepada wanita yang bakal mengahwini anaknya iaitu mesti pandai memasak kerana pelawak terkenal itu suka makan tidak kira masa. Menurut Salamiah Jalani, cucunya iaitu Talita mahu Shuib berkahwin lagi. Oleh itu, wanita di luar sana yang mahu mengahwini Shuib, perlu menepati syarat yang ditetapkan.
Sumber: Kosmo