Baru-baru ini, pemergian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberi kesan yang amat mendalam terhadap rakyat Malaysia, terutama rakan-rakan serta ahli keluarganya.
Artikel berkaitan: ‘Anugerahkanlah Pahala Syahid Buat Dirinya…’ – Pemimpin Negara & Artis Titipkan Doa Buat Arwah Adib
Terbaru, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan takziah kepada keluarga dan waris arwah menerusi sebuah laman di Facebook, Selangor Royal Office.
Berkenan untuk membuat ucapan takziah
18 Disember 2018 ~
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim.
Baginda juga telah berkenan mengutus surat takziah kepada bapa Allahyarham di Kuala Kedah, Kedah.
Berikut adalah titah ucapan takziah Baginda :-
“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor berasa amat sedih dan dukacita apabila mendengar berita pulangnya ke Rahmatullah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang Beta difahamkan Allahyarham telah diserang semasa menjalankan tugas memadamkan kebakaran dalam kejadian rusuhan di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman USJ, Subang Jaya, pada 27 November 2018.
Baginda dan isteri berdoa
Beta ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga, serta berharap mereka redha dan tabah menerima ketentuan ini.
Pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh rakyat dan Beta percaya pengorbanan wira kita ini adalah sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.
Beta dan Tengku Permaisuri Selangor berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.”
Sumber: Selangor Royal Office