Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru menafikan pembabitan dalam pembunuhan melibatkan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Berikutan itu, ada yang mempersoalkan mengenai fungsi dan peranan masjid ketika sumpah dilakukan.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertindak berkunjung ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan mengenai sumpah mubahalah.
Sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam
Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi kenyataan media hari ini menyatakan sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali dalam bab li’an. Manakala mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya jatuh kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.
Katanya, mubahalah bukanlah dituntut sekiranya kes sedang dibicarakan. Apa yang lebih penting adalah bukti seperti pengakuan dan saksi, tidak eksklusif kepada sumpah sahaja.
Manakala, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah diambil kira sekiranya diminta oleh qadhi atau hakim.
JAWI wajar gubal peraturan larang sumpah dalam masjid
Selain itu, pada masa kini telah wujud mahkamah untuk membincang dan menyelesaikan isu-isu perundangan. Oleh itu, mahkamah adalah tempat lebih sesuai untuk melakukan sumpah.
Pihak JAWI sewajarnya menggubal peraturan melarang apa-apa majlis melibatkan sumpah atau sumpah laknat berkaitan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan, ini untuk mengelakkan masjid dimanipulasi mana-mana pihak.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan