Baru-baru ini viral seorang lelaki membunuh 3 ekor kucing dengan memasukkan ke dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi di Kepong, Selangor. Walau bagaimanapun, individu yang didakwa tidak siuman itu sudah ditahan pihak polis.
Artikel Berkaitan : Suspek Pembunuh Kucing Dobi Ditahan Polis, Rupanya Orang Kurang Siuman
Terbaru, menerusi Harian Metro, suspek mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan semula selepas pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.
Tidak mengaku bersalah
Dia yang merupakan seorang penganggur mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh tiga kucing dengan melemaskan haiwan itu dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong, Ahad lalu. Suspek dituduh atas dakwaan dengan sengaja melakukan perbuatan kejam atau secara tidak munasabah ke atas 3 ekor kucing.
Insiden ini turut menimbulkan kemarahan orang ramai yang rata-ratanya simpati penderitaan tidak sepatutnya kepada tiga kucing berkenaan. Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Subseksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama.
Hantar ke Hospital Bahagia
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor N Nageswara memohon mahkamah supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian dan penelitian memandangkan perwatakan tertuduh tidak stabil.
Mahkamah kemudiannya membenarkan lelaki itu ditempatkan di hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut selama sebulan dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 13 Ogos nanti. Terdahulu lelaki itu didakwa kurang siuman dan hidup gelandangan selepas kematian ibu bapanya.
Sumber : Harian Metro