Seorang lelaki berkongsi pengalaman apabila berdepan detik cemas ketika dia dan keluarga diacukan pistol oleh suspek kes tembak yang berlaku di pusat beli-belah di Setia Alam, pada Ahad.
Suspek tembakan masih diburu
Memetik laporan Harian Metro, pemandu Perodua Ativa berusia 30-an yang enggan dikenali itu memberitahu bahawa ketika kejadian, dia dan isteri serta empat anaknya baru sahaja selesai menjamu selera di sebuah restoran di pusat beli-belah terbabit.
Namun keadaan menjadi kecoh dan mereka diarahkan keluar oleh pengawal keselamatan. Menurut lelaki ini, pada awalnya dia tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah dia tiba di tempat parkir.
Saya segera membawa ahli keluarga keluar dan ketika hendak ke tempat parkir, terdengar bunyi letupan. Saya anggap itu bunyi biasa sahaja dan tak sangka rupa-rupanya bunyi letupan daripada tembakan pistol.
Pada masa itu, nampak banyak kereta bergerak laju. Ketika kami sekeluarga hendak masuk ke dalam kereta, secara tiba-tiba lelaki (suspek) itu muncul dan mengacukan pistol.
Saya tercengang. Lelaki itu (suspek) turut melepaskan tembakan ke arah dinding untuk menunjukkan bahawa itu pistol betul
Cerita lelaki ini lagi, suspek berada di dalam keretanya hampir 45 minit sebelum mengarahkannya berhenti di tepi lebuh raya.
Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut. Lelaki itu (suspek) kemudian mengarah saya ke laluan keluar sebelum turun di tepi lebuh raya.
Dia berada dalam kereta kira-kira 45 minit dan sebelum menghilangkan diri, dia mengambil kad memori pada dashcam (kamera papan pemuka) kereta.
Terdahulu, media melaporkan pihak polis sudah mengenal pasti suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, pada Ahad sebagai lelaki tempatan yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.
Difahamkan, pihak polis kini sedang giat memburu suspek.
Sumber: Harian Metro