
Pelakon, Sweet Qismina mengakui lebih bimbang hilang kepercayaan orang terhadap kemampuan lakonannya berbanding tiada tawaran selepas dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), tahun lalu.
Artikel Berkaitan: #ThrowbackXTRA: Membesar Bersama Impian, Sweet Qismina Akhirnya Buktikan Dirinya Sebuah ‘Permata’
Artikel Berkaitan: ‘Tahun 2025 Adalah Tahun Paling Manis Buat Saya’ – Sweet Qismina
Harapan tinggi

Ketika ditemui OhBulan!, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi mengakui kemenangan tersebut menjadi satu amanah buatnya untuk terus membuktikan kredibiliti dalam bidang lakonan, apatah lagi apabila harapan tinggi kini diletakkan terhadap dirinya.
Sejujurnya saya bukan takut tidak dapat tawaran berlakon, tetapi risau kalau orang tidak yakin terhadap kemampuan saya selepas mendapat anugerah itu.
Contohnya, saya takut penerbit, pengarah serta penonton kurang percaya atau mungkin meletakkan harapan terlalu tinggi, ‘awak mesti boleh buat lebih daripada itu’.
Jadi, secara tidak langsung perkara sedemikian memberikan satu tekanan kepada diri kita. Saya tak mahu begitu.
Bagaimanapun, pelakon filem Babah itu berkata, kerisauannya sedikit reda apabila masih ada pihak yang mempercayai kemampuannya serta memberikan kata-kata positif setiap kali dia menerima tawaran berlakon.
Sweet berkata demikian ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Apabila semua cakap saya boleh buat iaitu yakinkan saya mampu galas sesuatu karakter, kata-kata itu boleh buat kita rasa okey dan nak bekerja lebih keras.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Adam Lee berkata menolak istilah ‘badi anugerah’ yang sering dikaitkan dengan penerima trofi berdepan kesukaran mendapatkan tawaran lakonan selepas sesuatu kemenangan.
Alhamdulillah, selepas hampir setahun bakat saya diiktiraf di FFM34 tawaran tetap datang sama ada menerusi lakonan mahupun projek lain.
Memang ada terdengar pasal ‘badi anugerah’ iaitu tanggapan berkenaan penerima trofi yang didakwa tidak mendapat tawaran berlakon selepas menang.
Apa pun semuanya berbalik kepada rezeki. Kena terus jalan, jangan ‘overthinking’. Insya-Allah dipermudahkan.








